Ahad, 8 November 2009

Penyebar maklumat bohong diseksa di neraka – Presiden PAS


SHAH ALAM, - Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa penyebar maklumat bohong akan disiksa kelak di dalam neraka berdasarkan hadis Imam Nawawi yang menyebut Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah. Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.

Haji Hadi juga mengingatkan seluruh jentera parti agar menggunakan pendekatan dakwah yang lebih banyak menerang daripada menyerang kerana matlamat PAS adalah untuk menyelamatkan manusia. Beliau juga tegas mengingatkan ahli parti supaya tidak mengamalkan budaya menuduh dan menghukum kerana boleh membawa kepada fitnah dan dosa besar. Beliau menyampaikan intipati ucapan tersebut ketika merasmikan Majlis Sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat di Hotel Quality, Shah Alam, kelmarin.

Dalam ucapannya itu turut menyebut bahawa Parti Islam seringkali dijadikan model dan dilihat oleh orang lain sehingga kadang-kadang kesalahan yang kecil diperbesarkan dan perkara yang betul ditutup. Saranan beliau yang konsisten adalah agar semua ahli PAS dapat menjadikan bidang ICT ini sebagai jihad menulis, menerang, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran disamping menitikberatkan aspek akhlak dan adab-adab Islam. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ketua Penerangan, Setiausaha Agong, Pengerusi IT PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Selangor.
Kegagalan PAS dalam mempengaruhi golongan yang tidak celik IT turut diakui olehnya. Oleh yang demikian, beliau berharap agar jentera PAS dapat memikirkan mekanisme yang terbaik untuk menyampaikan risalah Islam ke kawasan-kawasan pendalaman, pinggir bandar, golongan petani dan nelayan serta anak-anak muda yang dihantui dengan perkara-perkara yang melalaikan.
Presiden PAS itu juga turut menggesa pihak Jabatan IT PAS Pusat agar melakukan penyelidikan dan muhasabah untuk mengejar kemajuan IT supaya dapat menyaingi dan menandingi pihak musuh dalam menyalurkan maklumat melalui IT dengan lebih luas dan moden.

Di akhir majlis tersebut, semua krew dan jawatankuasa IT bergambar bersama pimpinan-pimpinan PAS yang hadir. - ANN

Tiada ulasan: