Selasa, 30 Disember 2008

Calon-calon Bebas tidak jejaskan peluang PAS

KUALA TERENGGANU, 30 Dis (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berpendapat calon-calon Bebas yang akan turut serta bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (P036) Kuala Terengganu ini tidak menjejaskan peluang PAS memenangi kerusi parlimen tersebut.

Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata Pemuda PAS akan memastikan kehadiran calon-calon Bebas dalam pilihan raya kecil ini tidak menjejaskan peluang PAS memenanginya.

Kita tidak nampak kehadiran calon-calon Bebas itu boleh mempengaruhi undi kepada calon PAS nanti.

"Umumnya, pertandingan ini jelas antara PAS dan Umno-Barisan Nasional. Pemuda PAS akan pastikan setiap undi berpihak kepada PAS," ujarnya ketika dihubungi Harakah.

Katanya, jentera Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat akan 'berkampung' di Kuala Terengganu bagi membantu melincinkan perjalanan jentera parti.

Menurutnya, setiap petugas yang dihantar mempunyai peranan masing-masing dalam bidang-bidang tertentu mengikut arahan kepimpinan parti.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Pusat menaruh keyakinan calon PAS boleh memenangi kerusi tersebut berdasarkan kehendak di peringkat akar umbi dan pengundinya.

"Kita sedang mengenalpasti dan menyiapkan penempatan untuk petugas-petugas kita dengan mempergiatkan usaha kempen dari rumah ke rumah," ujarnya.

Menurutnya, pendekatan berhemah, memujuk dan merayu akan dilaksanakan bagi meraih sokongan para pengundi yang benar-benar mahukan perubahan.

Tiada ulasan: