Khamis, 11 Disember 2008

Muslimat PAS santuni mangsa tanah runtuh

BUKIT ANTARABANGSA, 11 Dis (Hrkh) - Dalam usaha membantu mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh, khususnya mereka yang terperangkap, Muslimat PAS Pusat turut serta menyantuni dan menunjukkan sikap prihatin mereka.
Ketua Penerangan Muslimat PAS, Athirah Aiman serta beberapa serikandi muda turun ke lokasi kejadian, turut serta bersama AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, menunjukkan rasa prihatin mereka terhadap penduduk yang terperangkap.

Menurut Athirah,terdapat beberapa bantuan yang disalurkan pihak mereka, khususnya kepada penduduk yang terperangkap di Kondo Atheneum.

"Kami membantu urusan kelancaran lalu lintas, menyelaraskan bantuan makanan dan minuman daripada Ahli Parlimen Ampang,kemudiannya diagihkan kepada penghuni yang masih terperangkap," kata beliau yang jelas bersimpati kepada mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh tersebut.

Selain itu, kata Athirah pihak muslimat turut membantu mengangkut para penduduk dan barangan mereka menggunakan kenderaan shuttle MP Ampang dan Titiwangsa.

Menyedari suasana muram yang dihadapi para mangsa, Athirah berkata pihaknya turut menawarkan segala bantuan dan khidmat yang diperlukan, termasuklah proses melegakan emosi para penduduk secara 'direct counseling' kepada penduduk yang lalu lalang untuk mengambil barangan mereka.

Kata Athirah, kejadian ini turut memberi kesan yang besar kepadanya hingga menyebabkan beliau tidak dapat memejamkan mata setelah meninjau sendiri keadaan di tempat kejadian, semalam.

"Perasaan melihat warga sendiri menghadapi bencana tidak sama dengan melihat warga lain yang menghadapi masalah. Saya pernah terlibat dalam kerja-kerja di luar negara, namun perasaan tersebut tidak sama," luah beliau.

Justeru, kata beliau pihaknya akan sentiasa bersiap sedia membantu mana-mana pihak yang memerlukan pertolongan, khususnya membabitkan penduduk Bukit Antarabangsa ini. -
harakahdaily

Tiada ulasan: