Rabu, 11 Februari 2009

PAS kecam tindakan rampas Harakah dan Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Hrkh) - PAS mengecam tindakan merampas akhbar Harakah dan Suara Keadilan di seluruh negara khususnya melibatkan Perak, Kedah dan Selangor.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencabulan ke atas prinsip demokrasi. "Kita yakin tindakan itu diambil ekoran daripada laporan krisis yang berlaku di Perak.

"Tindakan tersebut telah menyekat kebebasan media dan menghina rakyat kerana hak mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat telah dinafikan," tegas beliau.

Mahfuz juga kesal kerana dalam masa yang sama media arus perdana terus menerus dibenarkan melaporkan berita-berita yang telah diputar-belitkan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat.

Media arus perdana kata beliau, mengambarkan Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka tetapi ketika krisis perlantikan Menteri Besar di Terengganu dan Perlis, pemimpin Umno yang menolak cadangan Sultan tidak digambarkan sedemikian.

"Bila ia melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat, media arus perdana akan memberi gambaran yang buruk sedangkan pemimpin Umno ada yang bertindak lebih teruk dari itu," jelas Mahfuz.
Beliau merujuk tindakan Tan Sri Annuar Musa yang menabalkan sultan Kelantan yang baru pada tahun 1993 kerana Sultan Kelantan yang sedia ada, Sultan Ismail Petra tidak sehaluan dengan pemimpin Umno Kelantan.

"Kalau nak dikirakan menderhaka tindakan Annuar Musa ini lebih derhaka berbanding yang Nizar," tegas beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak agar arahan segera dikeluarkan agar perbuatan merampas Harakah dan Suara Keadilan serta akhbar alternatif yang lain dihentikan

Isnin, 9 Februari 2009

Tindakan Karpal bersifat peribadi, Umno 'berselindung' atas nama istana

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) - PAS berpendapat bahawa cadangan tindakan yang sedang diambil oleh Peguam Karpal Singh untuk menyaman Baginda Sultan Perak adalah tindakan peribadi beliau dan tidak pernah dibincangkan, serta tidak pernah juga dipersetujui oleh mana-mana pimpinan parti politik dalam Pakatan Rakyat.

Presiden PAS Dato? Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS sekali lagi ingin mempertegaskan pendirian bahawa parti itu senantiasa mendukung prinsip rukun negara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Katanya sudah tentu rakyat tidak lupa akan tindakan tanpa susila yang dimulai oleh kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional pada tahun 1993 semasa pindaan perlembagaan terhadap kuasa imuniti Raja-Raja dilakukan.

"PAS berpendapat bahawa untuk memastikan keadilan terpelihara, semua pihak dalam negara kita ini termasuklah Umno seharusnya menghormati ketiga-tiga intipati penting dalam mendepani suasana yang sedang berlaku di Perak," kata Ustaz Hadi.

"Oleh yang demikian, tindakan pihak tertentu dalam Umno yang cuba untuk mengheret dan berselindung di sebalik Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dalam tindakan mereka untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah amat dikesali," kata Ustaz Hadi dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Bubar Dun Perak, beri peluang rakyat memilih

Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang sah berdaftar dan senantiasa mendukung prinsip rukunegara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Kami sepenuhnya percaya bahawa kedudukan kesemua prinsip-prinsip rukunegara ini haruslah dihormati oleh seluruh warga di dalam negara kita ini untuk memastikan keharmonian dan keadilan yang menyeluruh terus terpelihara.
Oleh yang demikian, PAS berpendapat bahawa suasana kekalutan yang sedang berlaku di negeri Perak Darul Ridzuan pada masa kini boleh dielakkan dari menjadi lebih buruk sekiranya prinsip asas yang merujuk kepada undang-undang negeri dan perlembagaan persekutuan dijadikan rujukan.

PAS berpandangan bahawa Menteri Besar (MB) Perak pada masa ini, iaitu Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, hanyalah boleh diturunkan dari kedudukannya sebagai menteri besar menerusi undi tidak percaya yang dilakukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa ianya bersidang.

PAS yakin bahawa sekiranya permohonan MB untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri diterima, maka suasana yang tegang dan boleh menuju kepada satu krisis perlembagaan boleh dielakkan.

Pembubaran Dun akan membuka ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan mereka menerusi satu pilihan raya yang menyeluruh di negeri Perak.

Saya juga ingin meminta kepada seluruh rakyat di negeri Perak khususnya dan seluruh ahli dan penyokong kerajaan Pakatan Rakyat di seluruh negara secara amnya supaya bertenang dan tidak terjebak dalam perangkap provokasi yang mungkin ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu.

Khamis, 5 Februari 2009

Nizar: Saya tidak perlu letak jawatan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata tiada sebab bagi beliau untuk meletakkan jawatan seperti yang disarankan oleh pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak.Katanya, beliau masih menjadi ketua kerajaan negeri sehinggalah Sultan Perak membubarkan dewan undangan negeri.

Ataupun, katanya, BN perlu mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya untuk memaksa beliau meletakkan jawatan.Bercakap dalam satu sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh malam tadi, Mohd Nizar berkata saranan Najib yang juga timbalan perdana menteri itu, tidak mencerminkan apa yang terkandung dalam perlembagaan negeri Perak.

Menurut perlembagaan Perak, kata Mohd Nizar, Pakatan masih merupakan sebuah kerajaan yang sah kecuali dewan undangan negeri bersidang untuk meluluskan undi tidak percaya atau jika kerajaan Pakatan meletak jawatan.

Beliau mengingatkan bahawa proses menukar kerajaan "tidak sama seperti menukar 'arung kopi".Mohd Nizar juga membidas Najib kerana didakwanya cuba mengambil alih kuasa di Perak melalui cara yang tidak sah.

Berfungsi seperti biasa

Sebaliknya, kata beliau, Najib hanya mahu menakut-nakut rakyat dan melakukan sesuatu tanpa menghormati perlembagaan.Oleh itu, Mohd Nizar meminta Najib - yang bakal menjadi perdana menteri - supaya berlaku adil kepada rakyat Perak.

Menjawab soalan pemberita, Mohd Nizar berkata, kerajaan Pakatan akan terus berfungsi seperti biasa sehingga Sultan membuat keputusan berhubung permohonan pembubaran dewan undangan negeri.Sebelum ini,Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat ahli dewan undangan negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.Begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini. Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.Najib berkata, Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan perkara itu kepadanya semalam.
sumber : klik sini

Perhimpunan sokong MB Perak

Satu perhimpunan penyokong dan ahli Pakatan Rakyat akan diadakan di kediaman menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin malam ini untuk menyatakan sokongan penuh kepada beliau dalam menghadapi situasi politik yang tidak menentu di negeri itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhimpunan itu juga bertujuan untuk memberi penjelasan secara terus kepada rakyat berhubung isu-isu yang berlalu di Perak."Kamu (BN) bercakap tentang demokrasi, tetapi kamu tidak berani untuk berhadapan dengan rakyat.

"Kamu kalah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan kamu takut untuk kalah lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi satu mesyuarat di ibupejabat PKR di ibunegara malam tadi.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalannya, Syed Husin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat lagi ahli dewan undangan negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.'Situasi tidak menentu'Kata Najib, begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini.

Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.Mengulas lanjut mengenainya, Anwar berkata, PKR dan Pakatan berpandangan bahawa "kita harus tunduk kepada kehendak rakyat".

"Kita mesti bertegas dalam isu ini, kembalikan kuasa kepada rakyat, terutama dalam situasi yang tidak menentu di Perak."Cara mengugut, membeli dan melarikan Adun tidak boleh dipertahankan," tegasnya.

Ditanya mengenai kemasukan Nasarudin ke dalam PKR, Anwar berkata: "Dia datang dengan rela, saya tak jemput dia, dia datang sendiri ke rumah saya dengan isterinya. Dia bersetuju untuk bersama PKR.

"Dia tengok BN telah rosak. Umno sudah hilang idealisme perjuangan dan rosak sebagai sebuah parti," katanya.'Kembali kepada rakyat'Menurut Anwar lagi, Nasarudin turut menyatakan bahawa beliau telah hilang keyakinan terhadap Najib.

Mengenai kenyataan Najib bahawa BN sudah mampu memerintah Perak, Anwar membidas timbalan perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menyifatkan alasan Jamaluddin dan Osman bahawa mereka bercuti sakit adalah sebagai satu pembohongan."Kenapa tidak memberitahu keluarga, pimpinan parti, menteri besar atau speaker. Kamu adalah exco, orang dij alanan pun tahu itu tanggungjawab awak," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa supaya kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru daripada mereka."Serahkan kepada rakyat, biar rakyat tentukan, sekiranya BN berhak memerintah, maka biarkanlah"Tapi saya yakin, kita akan mendapat majoriti yang lebih besar," tegas Anwar.

Sabtu, 31 Januari 2009

Presiden PAS dan rombongan pimpinan serah dana RM 250,000, tinjau penderitaan Gaza

RAFAH, Mesir 31 Jan (Hrkh) - Bendahari PAS Dr Hatta Ramli memaklumkan kepada Penolong Pengarang Harakahdaily Azamin Amin melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan 20 anggota rombongan PAS telah berjaya menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan PAS sejumlah RM250,000 untuk meringankan derita penduduk Gaza di Palestin.

Kata Dr. Hatta yang kini berada di sana, Ustaz Hadi dan rombongan termasuk sembilan ahli parlimen PAS mahu melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung umat Palestin akibat serangan Zionis.

Rombongan pimpinan PAS yang berlepas ke Mesir 28 Januari lalu telah selamat tiba di Rafah semalam dan dalam usaha menuju ke Gaza, Palestin.

"Rombongan Presiden PAS telah mendapat taklimat daripada Duta Malaysia di Mesir dan turut mendapat sokongan namun kerajaan Mesir tidak membenarkan kami memasuki Gaza, dan masih berada di Rafah," katanya melalui sms tersebut.

Sebelum itu katanya, mereka telah melawat Hospital Arish pada sebelah paginya untuk melihat mangsa serangan Israel ke atas Palestin.

"Ramai sukarelawan pelbagai bangsa kecewa kerana tidak dapat sumbang bakti di Gaza akibat peraturan ketat kerajaan Mesir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Arish jauhnya 40 kilometer dari Rafah dan adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin.

Di hospital itu katanya Tuan Guru Presiden PAS telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.

"Selain itu, Presiden dan rombongan dalam rangka lawatan menemui para pemimpin Ikhwan di Mesir, kemudian Damsyik, Beirut dan Amman seterusnya berjumpa dengan pemimpin Hamas sendiri.

"Objektif utama selain menyalurkan pelbagai jenis bantuan, Presiden dan pimpinan PAS mahu berbincang dan merangka bersama-sama pemimpin tersebut mekanisme dan tindakan terbaik bagi mengatasi kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin khususnya Gaza disamping menilai sendiri kemusnahan yang dialami untuk tujuan bantuan seterusnya ," katanya.

Keesokannya (31 Januari, hari ini), rombongan pimpinan PAS itu akan berlepas ke Damsyik untuk menemui pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Meshaal bagi meneliti langkah-langkah selanjutnya untuk rakyat Palestin khususnya melibatkan pembangunan semula Gaza dari segi modal insan, pendidikan dan ekonomi.

"Kami seterusnya akan melalui jalan darat ke Beirut menemui pemimpin gerakan Islam termasuk Hamas dan Fathi Yakan untuk berbincang masalahummah dan tindakan terdekat. Destinasi terakhir ialah Jordan untuk menemui pimpinan Ikhwan Muslimin dan untuk dapat taklimat tentang Tebing Barat.

"Jumlah sumbangan PAS sebanyak RM250,000 yang diterima daripada pelbagai pihak dan masyarakat prihatin di Malaysia telah berjaya kita sampaikan," katanya.

Selain beliau dan Presiden, ahli parlimen yang turut serta dalam rombongan ialah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian dan Ketua Pemuda PAS), Dr. Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lo' Lo' Ghazali (Tititwangsa), Dr. Mujahid Rawa (Parit Buntar),Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Hayati Othman (Pendang), Roslan Shaharum (Bukit Gantang) dan beberapa akitivis yang lain.

"Terima kasih atas doa, sumbangan dan keprihatin orang ramai kepada rakyat Palestin dan semoga semangat perjuangan sentiasa disemarakkan dan doakan kami selamat kembali," kata Dr Hatta dalam sms ketujuh kepada Azamin lewat jam 10.00 malam semalam.

Pemimpin UMNO Sapu RM 20 juta, Projek Jambatan Sultan Yahya Petra 2 Terbengkalai.

Kuala Nerus – Gejala rasuah yang berlaku dikalangan pemimpin UMNO mengakibatkan kebocoran dan ketirisan berlaku dalam projek kerajaan.

Projek besar dan kecil ditipu oleh pemimpin UMNO menyebabkan ia menelan belanja lebih besar dari yang sepatutnya.Ahli Dewan Undangan Negeri Melor, Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh menyatakan demikian ketika menyampaikan ceramah di Maahad Tahfidz Wal Tarbiyah Tok Jiring malam semalam.

Beliau mendedahkan penyelewengan pemimpin UMNO Kelantan dalam projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra 2 (JSYP2) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2 Ogos tahun 2007.

Beliau berkata projek tersebut tidak ditender dan diberi kepada syarikat yang dimiliki oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Rosmadi Ismail.

”Kementerian Kewangan melalui Kementerian Kerja Raya di peringkat pusat telah memberi kontrak membina jambatan ini kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu dengan harga RM 150 juta.

”Kita (PAS) bila tahu, kita tanya JKR berapa harga sepatutnya sebenarnya mengikut penilaian JKR,”JKR kata harga sebenar jambatan ini, kalau diberi secara tender (terbuka) paling mahal berharga RM 110 juta,”katanya.

Katanya kelulusan projek JSYP2 hampir kepada waktu pilihanraya umum yang lalu dimana perasmian pecah tapak projek tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri tanpa menjemput Menteri Besar Kelantan.

Oleh itu, setelah perasmian tapak tersebut, katanya, syarikat berkenaan telah menuntut bayaran daripada kerajaan pusat lebih dari RM 20 juta.Beliau berkata apabila mendapat bayaran dari kerajaan persekutuan, syarikat tersebut tidak meneruskan pembinaan JSYP2 dan terbengkalai sehingga kini.

”Akhirnya dia telah tuntut sebanyak lebih dari RM 20 juta, lepas itu dia pun tinggal (projek), tidak buat, sampai ke hari ini tidak buat, pitih RM 20 juta dia kebas, ”Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu beli kereta Porsche sebuah, nombor plate DBH1, yang harganya lebih sejuta ringgit,”dedah Ustaz Wan Ismail.

Katanya projek pembinaan JSYP2 yang terbengkalai adalah satu bukti bagaimana pemimpin UMNO menipu kontrak kerajaan. ”Dahlah boleh (mendapat) kontrak dengan harga yang mahal, tipu kerajaan pula, ambil pitih tapi tak buat kerja,”tambahnya.

Beliau berkata, kerajaan (rakyat) terpaksa menanggung kerugian bepuluh juta ringgit kerana terpaksa melantik kontraktor lain bagi melaksanakan projek itu dan wang lebih RM 20 juta yang telah diberikan kepada syarikat tersebut tidak dapat dituntut semula.

Undang-undang ‘Lompat Parti’, PAS Cadang Pinda Perlembagaan Malaysia

Kuala Terengganu - PAS menyelar UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai bersikap ‘double standard’ dalam usaha menangani isu ‘lompat parti’.

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dato’ Mustafa Ali mencadangkan supaya perlembagaan persekutuan dipinda kerana katanya undang-undang anti lompat tidak berkesan jika dibuat di peringkat negeri sahaja (Gambar - Dato' Mustafa melayan para tetamu yang hadir ke majlis kenduri kesyukuran PAS Terengganu yang diadakan di perkarangan pejabat perhubungan negeri semalam)..

Beliau berkata Kelantan pernah menggubal satu Enakmen yang berkaitan dengan anti lompat pada tahun 90-an tetapi tidak berkesan kerana halangan-halangan tertentu.“Saya hendak sebut undang-undang anti lompat ini jika buat di peringkat negeri tidak berkesan. Dia mestilah dilakukan dengan pindaan Perlembagaan Malaysia.

“Sebab, Kelantan suatu ketika dahulu pernah buat Enakmen ini yang berkait dengan anti lompat pada tahun 90-an tetapi tidak boleh sebab individu dalam Perlembagaan terjamin,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, pada dasarnya PAS bersetuju seseorang yang bertanding di atas tiket sesuatu parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tidak harus menyeberangi kepada parti lain.Melainkan, katanya jika seseorang wakil rakyat itu mahu menyeberangi kepada mana-mana parti ia perlu mengosongkan kerusi tersebut.

“Saya rasa Umno sendiri tidak setuju dengan undang-undang lompat parti ini. Ini kebetulan kena kepada UMNO baru dia (pemimpin) fikir tentang anti lompat dan sebagainya.

“Sejarahnya, UMNO tidak bersetuju dengan undang-undang anti lompat parti kerana pada waktu itu biasanya yang lompat parti banyaknya dari pihak pembangkang kepada parti yang memerintah. “Saya tidak fikir UMNO boleh bersetuju. UMNO sendiri pun punya ‘double standrad’ dalam sikap dia (UMNO) terhadap isu ini,” jelasnya.
Beliau mahukan pindaan anti lompat tersebut dibuat bukan bagi satu pihak tetapi dua pindaan wajar dilakukan bagi menjamin hak seseorang.Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata ketika ini Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan seseorang wakil rakyat yang menang dan meletak jawatan untuk bertanding semula.

“Pindaan mestilah bukan satu tetapi dua. Iaitu, seseorang yang lompat jika dia (wakil rakyat) ‘gugur’ (letak jawatan) dia mesti boleh bertanding semula. “Sebab, undang-undang yang ada sekarang seseorang wakil rakyat yang menang dan jika dia letak jawatan sebagai wakil rakyat, dia tidak dibenarkan bertanding semula oleh Perlembagaan,” ujarnya.

Menurutnya, pindaan Perlembagaan menyekat wakil rakyat yang letak jawatan bertanding semula telah dibuat pada akhir tahun 80-an sewaktu berlaku pertembungan antara ‘team A’ dan ‘team B’ dalam Umno suatu ketika dahulu.

Waktu itu, katanya Dr. Mahathir menjadi Presiden Umno dan ditentang oleh Tengku Razaleigh dan Musa Hitam.“Berlakunya perpecahan dalam Umno dan waktu itu kes Shahril Samad yang sekarang ini Menteri Hal Ehwal Pengguna.
Dia (Shahril) waktu itu MP Johor Bharu dan dia secara ‘gentleman’ letak jawatan dan dia bertanding semula dan dia menang. “Jadi waktu itu, Dr. Mahathir takut berlaku lagi tindakan letak jawatan dan bertanding menang.
“Sebab itu, diperkenalkan satu undang-undang bahawa setiap wakil rakyat sama ada negeri atau parlimen yang ‘berhenti’ (letak jawatan) tidak boleh bertanding,” ujarnya.

Mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim yang meninggalkan perjuangan Umno dengan menyertai Parti KeADILan Rakyat (PKR) kerana beliau tidak yakin lagi dengan Barisan Nasional.
Katanya, Adun Bota (Nasaruddin) itu sudah hilang keyakinan terhadap Umno dan kerajaan BN serta boleh memilih mana-mana parti yang diminati bagi berkhidmat untuk rakyat.“Itu kerana dia (Nasaruddin Hashim) sudah tidak yakin kepada BN.
Saya boleh setuju jika dia hendak lompat dan jika ramai lagi pun saya setuju. “Keadaan sekarang ini, dia (Nasaruddin) tidak suka lagi kepada BN. Ibaratnya, dia kahwin tetapi sudah tidak suka lagi…tak boleh. Tetapi jangan ‘belilah’.
Jangan kerana beli kerana apa…itu tidak bagus,” tegasnya. Justeru itu, kata Dato’ Mustafa jika pindaan anti lompat hendak dibuat perlu dipinda bersama Perlembagaan Malaysia yang mengizinkan wakil rakyat yang meletak jawatan itu boleh bertanding semula.

Jumaat, 30 Januari 2009

HAYATI DAN LAKSANA 5 PRINSIP AMAL JAMAEI dalam PAS

Sebahagian dari usaha untuk memperkasakan PAS agar Islam yang menjadi asas dan dasar perjuangan dapat dilaksanakan dengan cemerlang , kita sewajarnya memastikan intima' atau penglibatan kita dengan PAS ini benar - benar dihayati bersama 5 prinsip Amal Jamaei .
5 Prinsip yang saya maksudkan itu ialah :

1. Iltizam

Memberikan komitmen yang tinggi terhadap setiap aktiviti amal Islami yang dianjurkan oleh PAS demi menjayakan gerakkerja pengkaderan atau pembinaan :


Aqidah yang sohih ,
Fikrah yang syumul dan
Syakhsiyyah yang soleh .
Dakwah yang benar
Tanzim @ Organisasi yang mantap

Jangan abaikan setiap keputusan jamaah apalagi membuat keputusan yang bercanggah dengan apa yang telah diputuskan secara jamaei melalui prosedur mesyuarat yang sah . Pastikan juga kita tidak mengakibatkan aktiviti jamaah lumpuh atau terbiar dengan sikap yang acuh tidak acuh dalam menjayakannya .

Terapkan rasa wajib ke atas diri dalam menunaikan semua peraturan dan arahan jamaah yang tentunya untuk kepentingan perjuangan Islam yang suci dan bersih dari sebarang elemen yang bersifat kepentingan diri sendiri .

Rasa diri terpanggil untuk menyelesaikan apa jua tanggungjawab dan amanah perjuangan yang terbengkalai walaupun bukan kita pemegang amanah yang bertanggungjawab langsung terhadapnya .

2. Wala'

Kesetiaan dan kejujuran kita terhadap perjuangan Islam yang didokong dengan PAS sebagai platform untuk menjayakannya , lalu menggapai objektif dan matlamat .

Tidak berlaku curang atau tidak mengkhianati perjuangan dengan melakukan sesuatu yang bukan sahaja bercanggah dengan dasar perjuangan tetapi juga mendedahkan jamaah kepada risiko ekoran tindakan kita yang kurang berhati - hati seperti mengakibatkan kebocoran rahsia dan lainnya .

Jangan sekali - kali bermain kayu 3 dengan jamaah yang akhirnya mencetus dilemma dalam melaksanakan arahan pimpinan . Antaranya sikap menyertai 2 atau 3 jamaah sekali gus kononnya didirikan atas kefahaman bahawa yang penting ialah Islam bukan jamaah , maka boleh menyertai mana - mana jamaah yang mahukan Islam .

Tindakan ini membawa kepada pecah wala' lalu timbul pula 'fatwa' kononnya wala' tidak wajib kecuali kepada Allah dan Rasul demi menghalalkan tindakan mereka menyertai 2 atau 3 jamaah secara serentak .

Menyertai 2 atau 3 jamaah serentak sebenarnya menggangu proses pembinaan secara terancang dan mencetuskan kekeliruan fikrah serta membawa kepada dilemma dalam ketaatan dan komitmen . [ perbincangan panjang dan jelas telah saya tulis dalam kertas kerja saya yang bertajuk Ummah Centric : satu kekeliruan . ]

3. Dengar dan Taat.

Melancarkan misi dan operasi yang telah dirancang demi mencapai objektif dan matlamat perjuangan suci ini pastinya dengar dan taat adalah mekanisme yang tidak dapat tidak mesti dihayati dan dilaksanakan .

Kita tidak selayaknya mengklasifikasikan ketaatan kita kepada pimpinan dan jamaah selama mana ia tidak mengheret kita dan jamaah ke kancah maksiat dan mungkar . Sekalipun pemimpin yang mengeluarkan arahan hanya seorang junior atau pimpinan bertaraf cawangan , jika kita bertanggungjawab langsung dengan arahan tersebut maka hendaklah ianya dilaksanakan dengan penuh amanah .

4. Ukhuwwah fillah

Jalinan persaudaraan antara ahli PAS mestilah diikat dengan semangat berlapang dada , berbaik sangka , tawadhu' atau merendah diri antara satu sama lain , kasihkan saudara sebagaimana kita kasih kepada diri sendiri , mengutamakan kebaikan buat saudara kita mengatasi diri sendiri .
Eratnya jalinan antara ahli sesama ahli dan ahli dengan pimpinan membentuk benteng kukuh buat jamaah dari sebarang anasir yang merosakkan struktur kepimpinan dan pentarbiyahan jamaah .

Usaha dan aktiviti yang menumbuhkan kemesraan sesama ahli atau program yang menanam rasa kasih yang mendalam mestilah diberikan keutamaan . Justeru ukhuwwah yang terbina utuh antara ahli dan pimpinan akan meminimakan ruang khilaf dan menutup peluang krisis .

5. Tadhiyyah [ pengorbanan ]

Tiada perjuangan tanpa pengorbanan malah pengorbanan antara pra syarat kemenangan . Sukar untuk kita jayakan misi dan visi perjuangan besar ini tanpa pengorbanan semua pihak . Mengorbankan tenaga , harta benda dan nyawa demi perjuangan Islam ini sememangnya telah diwartakan oleh Allah dalam al Quran sebagai sunnah perjuangan sejak zaman Nabi saw.
Kegagalan berkorban memerangkap diri dan jamaah dalam kelemahan yang tidak mungkin boleh diatasi .

Terutama kita berjuang di era menang , kedengaran akhir - akhir ini suara yang mahu titik peluh dan penat lelahnya untuk perjuangan ini dibayar dengan imbuhan dunia . Tanpa imbuhan atau perolehan lumayan maka tiada tenaga jauh sekali nyawa untuk perjuangan . Ini satu musibah !

Pengorbanan adalah tuntutan perjuangan yang sama samaada sebelum atau selepas menang . Tanpa pengorbanan terlalu sukar untuk kita mencapai kemenangan sebagaimana jua tanpa pengorbanan pasti sahaja kemenangan yang dicapai tidak akan bertahan lama .

Ringkasan ini sebagai satu nota kecil buat petugas , ahli dan pimpinan PAS yang saya dedikasikan buat semua khasnya diri saya sendiri yang masih perlu dibimbing dan dibina dengan apa yang telah saya notekan di sini .

Saya harap perbincangan lanjut dibawa ke usrah atau liqa fikri berkait 5 prinsip amal jamaei ini dan dilengkapkan dengan nas qura'ani dan dalil sunni berasaskan manhaj perjuangan an nabawi .

Kuala Terengganu - PAS tidak benarkan sama sekali Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang disandangnya sejak lima penggal lalu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sempena majlis kenduri kesyukuran PAS di pejabat perhubungan negeri, Jalan Sultan Omar, disini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Wahid dalam sidang media yang sama apabila ditanya para wartawan berkaitan spekulasi bahawa satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan di Terengganu berikutan kemenangannya.

Wahid menyifatkan berita beliau melepaskan DUN adalah khabar angin dan tidak berasas sama sekali dan menegaskan sekali lagi akan meneruskan tindakan terhadap akhbar mingguan WATAN sekiranya akhbar tersebut tidak membetulkan kenyataannya atau memohon maaf.

"Ada yang kata saya akan lepas DUN tersebut untuk beri tumpuan sebagai Ahli Parlimen, semua ini tidak betul. Itu berita tak benar,“peguam akan teruskan tindakan sekiranya WATAN tidak minta maaf atau membetulkan semula berita spekulasi yang tidak beretika" kata Wahid.

Pada 18 Januari lalu, dalam sesi bersama wartawan di rumahnya, Wahid telah menegaskan beliau akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

Namun demikian, akhbar WATAN bil. 22 keluaran Ahad 25-31 Januari dengan sengaja menjadikan berita tersebut sebagai sensasi dan mendakwa Wahid akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sekaligus satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu akan diadakan.

Editor Akhbar Mingguan WATAN, Zabidi Haji Saidi mengaku bahawa berita yang dikeluarkan oleh akhbar dibawah seliaannya bertajuk ‘Wahid Lepas Adun’ hanya sebuah berita spekulasi.

Khamis, 29 Januari 2009

HARI INI DALAM TAHUN HIJRAH

Take a look at this:
http://al-habib.tripod.com/hijricalendar/hijricalendarnote01.htm

Kemaman – Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang kini menjadi sasaran pemimpin UMNO Terengganu dikatakan menjadi faktor kekalahan UMNO dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

JKKK dituduh melakukan penyelewengan menyebabkan peruntukan yang di salurkan oleh kerajaan negeri tidak sampai kepada sasaran. (Gambar - Dato Mustafa bersalaman dengan Hj Johan, Bendahari MTD Chukai)

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dato’ Mustafa Ali menolak tuduhan yang mengatakan bahawa semua JKKK melakukan penyelewengan tersebut.”Bukan semua JKKK yang bertindak begitu, ada JKKK yang berlaku adil mengagihkan peruntukan yang diberikan,”tetapi JKKK yang melakukan penyelewengan adalah mengikut jejak langkah pemimpin atasan UMNO,”kata beliau dalam ceramah meraikan kemenangan PAS di Kampung Geliga, dekat sini, malam kelmarin.

Beliau berkata JKKK hanya mendapat kontrak kelas F daripada projek-projek yang dilaksanakan, tetapi pemimpin atasan UMNO mendapat kontrak kelas jutaan ringgit malah ratusan juta ringgit.Oleh itu katanya JKKK mengambil keuntungan sedikit daripada projek-projek tersebut, namun pemimpin atasan UMNO mendapat laba yang lebih besar.

Katanya tindakan JKKK mengambil untung daripada projek-projek kerajaan adalah kerana mereka melihat pimpinan atasan mereka meraih untung yang berganda.”JKKK buat projek kerajaan bukan untuk mencapai sasaran dan mengambil untung kerana dia (JKKK) lihat pimpinan UMNO diatas ’baham’ lebih lagi,”katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu menggesa supaya pemimpin UMNO melihat dulu kepada diri masing-masing sebelum mahu mengambil sebarang tindakan kepada JKKK.

Justeru katanya rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin atasan UMNO perlu di hapuskan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap JKKK.

Rabu, 28 Januari 2009

Akhbar WATAN; Peguam Telah Diarahkan Mengambil Tindakan – Wahid


Kemaman – Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru dipilih, Mohd Abdul Wahid Endut telah mengarahkan peguamnya untuk mengkaji tindakan terhadap akhbar mingguan WATAN.

“Saya sudah menyerahkan kepada peguam saya untuk mengambil tindakan susulan (terhadap akhbar WATAN),”katanya kepada Buletinonline ketika ditemui sebelum berucap dalam ceramah sempena Majlis Kesyukuran Kemenangan PAS dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu yang diadakan di Geliga, dekat sini, malam semalam. (Gambar atas)-

Pertemuan kembali dua bekas Exco Negeri Terengganu, Ustaz AWang Dagang Jusoh (kanan) pernah memegang protfolio Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Kaum dari 1999 - 2004)Beliau menegaskan berita bertajuk ‘Wahid Lepas ADUN’ yang disiarkan akhbar WATAN menjatuhkan maruah dan imej beliau sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat.

Katanya sebuah akhbar sepatutnya tidak menyiarkan satu ‘spekulasi’ tetapi menyiarkan berita sebenar yang dipertanggungjawabkan.“Spekulasi bukan ‘berita’, dan apa yang disiarkan oleh akhbar WATAN berbentuk berita, bukan spekulasi,“saya telah menafikan dan telah disiarkan oleh sekurang-kurangnya sebuah akhbar internet dan sebuah akhbar cetak, itu berita sebenarnya,”ujarnya.

Beliau berkata ekoran dari berita yang disiarkan oleh WATAN, beliau telah mendapat kesusahan, terganggu dan kegelisahan akibat mendapat banyak panggilan telefon dari pelbagai pihak yang bertanya tentang perkara tersebut.

“Termasuk (panggilan) dari pejabat MB Terengganu sendiri, meminta pengesahan dari saya, apakah benar berita sebagaimana yang disiarkan oleh WATAN,”jelas Wahid.

Menurutnya akhbar tersebut telah melanggar etika kerana mengeluarkan berita yang tidak tepat, apatah lagi kalu membuat satu berita ‘spekulasi’, tanpa membuat rujukan terlebuh dahulu.Justeru katanya akhbar tersebut harus mengambil tanggungjawab (sekiranya tindakan diambil).

Harakahdaily Isnin, 26 Januari, 1.46am telah menyiarkan penafian Wahid terhadap berita akhbar mingguan WATAN Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari.Wahid dalam kenyataannya yang dipetik oleh wartawan Suhaimi Taib menyifatkan kenyataan akhbar tersebut dikeluarkan oleh orang yang 'desperado' dan cuba menfitnah dirinya.

Beliau meminta akhbar berkenaan membuat pembetulan atau menarik balik kenyataan tidak benar itu dengan menafikan beliau melepaskan jawatan sebagai ADUN Wakaf Mempelam.

Editor Akhbar Mingguan WATAN, Zabidi Haji Saidi tidak membuat pembetulan atau menarik balik kenyataan akhbarnya namun hanya mengaku berita yang dikeluarkan oleh akhbar dibawah seliaannya bertajuk ‘Wahid Lepas Adun’ hanya sebuah berita spekulasi.

Pengakuan Zabidi dibuat melalui tulisannya dalam Blog peribadinya selepas Buletinonline menyiarkan berita mendedahkan, sudah dua kali dalam bulan ini akhbar Mingguan WATAN seolah-olah sengaja mencari pasal dengan PAS.

Selain mendakwa Wahid akan melepaskan jawatan ADUN, akhbar tersebut telah melakukan provokasi dengan menyiarkan berita dengan tajuk sensasi ‘PAS Beli AKIM’ pada 10 Januari lalu.

Isnin, 26 Januari 2009

Perutusan Tahun Baru Cina - Presiden PAS

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua anggota masyarakat Tionghua di Malaysia.Semoga tahun yang baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.

Sesungguhnya masyarakat Tionghua tempatan telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di Malaysia dan dengan dokongan kaum-kaum lain termasuklah orang-orang Melayu dan India, kita telah bersama-sama memberikan harapan baru ke arah lahirnya nanti satu negara Malaysia yang lebih adil dan aman buat semua.

Terbaru adalah peranan mereka dalam memenangkan calon PAS dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur.

PAS juga kini melalui Kelab Penyokongnya telah berjaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat Tionghua khususnya dalam saling faham-memahami dan hormat-menghormati serta saling tolong-menolong di antara satu sama lain.

Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.Allah swt sendiri menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam surah al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."

"Gong Xi Fa Cai kepada semua"

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Sudah Dua Kali Watan Sengaja Cari Pasal


Kuala Terengganu - Sudah dua kali dalam bulan ini akhbar Mingguan WATAN seolah-olah sengaja mencari pasal dengan PAS.

Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari akhbar tersebut mendakwa Abdul Wahid Endut dijangka melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sekaligus satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu akan diadakan(Gambar - sessi minum petang bersama wartawan di rumah Wahid 18 Januari lalu, Editor Buletinonline turut hadir, tiada kelibat wartawan akhbar Watan).

Dalam keluaran tersebut, akhbar itu meletakkan tajuk utama muka depan 'Wahid Lepas Adun' dan tajuk kecilnya 'Satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu untuk malukan BN' melaporkan dalam intro beritanya bahawa satu lagi pilihanraya kecil dijangka berlaku di Terengganu berikutan kemenangan ahli parlimen Kuala Terengganu yang baru, Abdul Wahid Endut

Pada keluaran sebelum itu, Watan turut membuat percubaan ‘mengusik’ PAS dengan tajuk sensasi ‘PAS Beli AKIM’, selepas penarikan diri calon AKIM pada hari penamaan calon pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Muka depan Watan bertarikh 10 Januari itu menyiarkan menyiarkan berita PAS dikatakan telah membeli calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad supaya menarik diri pada saat akhir sebelum mengemukakan kertas pencalonan bagi bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Ekoran dari siaran Watan yang dianggap fitnah itu, Harakhdaily melaporkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut menafikan beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pada petang 18 Januari lalu, dalam sesi bersama wartawan di rumahnya di Seberang Baruh, dekat sini, ketika ditanya, Wahid menegaskan beliau akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

Katanya beliau tidak sama sekali akan meletakkan jawatan walaupun ada pihak-pihak tertentu mendesakknya berbuat demikian.

"Saya dipilih oleh rakyat, bukan dilantik... tiada sebab untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN," katanya.Mohd.

Abdul Wahid menjelaskan beliau ada menerima SMS yang meminta beliau melepaskan jawatan ADUN jika menang.

"Saya tidak membalas SMS itu dan saya pun akan tetap kekal sebagai ADUN," katanya.Jelasnya, beliau tiada masalah untuk meneruskan kedua-dua kerusi ADUN dan Ahli Parlimen serentak memandangkan telah mewakili DUN Wakaf Mempelam dengan baik.

"Malah ada juga wakil rakyat memegang kedua-dua kerusi peringkat negeri dan Parlimen seperti Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan beberapa wakil rakyat yang lain.

"Cuma saya hendak membahagi-bahagikan masa dengan seimbang dalam hal ini," katanya

Ahad, 25 Januari 2009

UMNO Tidak Akan Berubah


Dungun – “Walaupun UMNO cuba melakukan perubahan, namun dasar yang dibawa oleh parti itu tidak mungkin berubah,“apa yang mereka perjuangkan adalah untuk kepentingan diri dan para kroni,”kata Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Beliau berkata demikian ketika memberi respon atas kenyataan beberapa pimpinan UMNO selepas mengalami kekalahan dalam pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu minggu lalu.

Menurutnya mesej yang rakyat berikan dengan keputusan PRK Kuala Terengganu bukannya meminta UMNO berubah tetapi rakyat memberikan isyarat bahawa UMNO sudah tidak relevan lagi dengan politik masakini.

“Satu mesej yang jelas yang dihantar oleh rakyat selepas PRK Permatang Pauh, rakyat mahukan perubahan kerajaan yang memimpin mereka,“sekiranya rakyat mahukan UMNO yang berubah, pasti rakyat memilih UMNO di Kuala Terengganu kerana UMNO sudah pun membuat beberapa perubahan dalam kepimpinan,”jelasnya yang ditemui ketika menghadiri majlis walimah seorang penduduk di jalan lapangan terbang, dekat sini, semalam. (Gambar atas)

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sura berkata perubahan haikiki yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO adalah kembali kembali Islam yang sebenarnya dan mengamalkan dasar-dasar Islam dalam menghadapi masyarakat.

“Menurut seorang Ulama’ Hassan Basri, menjadi seorang pemimpin itu adalah menjadi “hamba kepada rakyat”, ”Mana mungkin seorang “hamba kepada rakyat”, adalah lebih kaya dan hidup mewah daripada rakyat jelata,”katanya merujuk kepada cara hidup pemimpin UMNO yang ada masakini.

Mengulas lanjut kesan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRK Kuala Terengganu beliau berkata kemenangan tersebut memberikan kesan yang besar kepada para petugas dan rakyat di kawasan Dungun.

Katanya ia bukan sahaja terkesan dan membawa perubahan dikalangan para petugas dan penyokong Pakatan Rakyat bahkan sudah ada ‘suara’ kedengaran dikalangan penyokong UMNO dan Barisan Nasional.

“Penyokong UMNO akan ada perubahan, sudah ada ‘signal’ dari kalangan penyokong UMNO dan BN yang turut akan berubah menyokong Pakatan Rakyat,”katanya.Oleh yang demikian beliau sudah meletakkan sasaran kerja PAS Kawasan Dungun untuk mengahdapi Pilihanraya Umum yang ke 13 akan datang.

“Sasaran PRU 13 bagi Kawasan Dungun, InsyaAllah PAS akan menumpukan kepada tiga DUN yang akan berjaya kembali ke tangan PAS dibawah muafakat Pakatan Rakyat,”katanya.

Sabtu, 24 Januari 2009

Majoriti lebih besar jika golongan muda pulang mengundi

KUALA TERENGGANU(sinar harian) – Dewan Pemuda Pas Terengganu menganggap pihaknya akan mendapat majoriti lebih besar dalam kalangan orang muda sekiranya mereka yang berada di luar pulang mengundi pada pilihan raya kecil, Sabtu lalu.

Timbalannya, Ariffin De-raman berkata, keadaan tersebut berlaku kerana kebanyakan trend ketika ini adalah untuk memenangkan parti pembangkang.
Menurutnya, senario yang juga berlaku di Kelantan sambil memberitahu kebanyakan pengundi yang berada di luar adalah golongan muda yang pulang semata-mata untuk melihat parti pembangkang diterajui Pas tidak jatuh ke tangan parti kerajaan.
“Kita melihat trend tersebut berlaku di Kelantan dan keadaan itu juga berlaku dalam kalangan golongan muda di negeri ini,” katanya.
Selain itu, pihaknya akan memastikan sokongan pe-ngundi muda dalam kalangan masyarakat Cina akan lebih baik berbanding sebelumnya memandangkan hanya mendapat 95 undi sahaja pada pili-han raya lalu.

Jumaat, 23 Januari 2009

Malaysia mesti iktiraf Hamas, usir duta Amerika

"Kita bersetuju dengan cadangan supaya duta Amerika diusir sahaja dari negara ini tanda bantahan terhadap perilaku mereka yang menghalalkan tindakan zalim Israel."
ISU keganasan Isreal keatas penduduk Gaza mendapat perhatian seluruh dunia. Berbagai bantahan dilancarkan sama ada dalam bentuk demonstrasi dan boikot barangan Amerika.

Wartawan Harakah, IRWAN MUHAMMAD ZAIN mendapatkan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar untuk menyorot pandangan PAS dalam soal keganasan Israel ke atas penduduk Palestin.

HARAKAH: Israel telah bersetuju untuk melakukan gencatan senjata. Itu pun setelah Hamas mencadangkannya dan perlu mematuhi beberapa syarat seperti Israel perlu meninggalkan bumi Palestin. Bagaimana sikap PAS dalam soal ini?

DATO' KAMARUDIN JAFFAR: Kita menyambut baik sebarang usaha damai atau gencatan senjata yang mahu dilakukan. Namun kita juga mengambil sikap untuk melihat sejauh mana kesungguhan Israel dalam melakukan gencatan senjata ini. Seperti yang kita tahu, sebelum ini pun sudah banyak kali Israel melanggar perjanjian demi perjanjian sehingga kita merasakan apa jua bentuk diplomasi yang cuba dilakukan seolah-olah telah tertutup akibat dari karenah Israel ini.

Tuntutan yang dibuat oleh Hamas itu perlu bukan sahaja dihormati bahkan perlu juga Israel akur kerana dari segi sejarahnya juga Israel telah menceroboh Palestin. Jadi, sepatutnya bukan sahaja di Gaza tetapi diseluruh negara Palestin itu, Israel perlu keluar dan Israel juga perlu menghormati keputusan rakyat Palestin yang telah memilih Hamas untuk membentuk kerajaan. Urusan memilih kerajaan itu adalah urusan rakyat Palestin bukan urusan Israel atau Amerika atau negara-negara lain.

Biarkan rakyat Palestin menentukan sendiri siapa yang mereka mahukan menjadi ketua negara mereka dan parti mana yang layak membentuk kerajaan. Seperti yang telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden ketika membahaskan usul di Gaza ketika mesyuarat tergempar Dewan Rakyat baru-baru ini, Hamas dipilih secara demokrasi yang mana sistem ini didokong dan disokong kuat oleh Amerika.

Pilihanraya di Palestin pada tahun 2006 itu adalah yang paling bersih dan adil. Pilihanraya itu diawasi oleh pasukan pemantau dari eropah dan juga dari Amerika iaitu dari Carter Centre. Kalau pilihanraya itu bersih dan adil, kenapa pula nak pertikaikan kemenangan Hamas?

Yang sepatutnya dipertikaikan oleh Amerika ialah Israel itu, yang tiada negara tetapi bertindak ganas menceroboh Palestin dan membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Jadi biarpun sudah dipersetujui agar dilakukan gencatan senjata tetapi pendirian PAS jelas, Hamas perlu diiktiraf bukan sahaja oleh Amerika tetapi juga oleh kerajaan Malaysia yaang dilihat lebih condong kepada Fatah.

Sebelum ini sudah banyak demonstrasi dilakukan sebagai bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap penduduk Gaza. Setelah gencatan senjata ini dipersetujui, apakah perlu demonstrasi ini dihentikan atau ia harus diteruskan?

Pada pandangan peribadi saya, biarpun gencatan senjata telah dipersetujui namun itu tidak bermakna sebarang demontrasi harus juga dihentikan. Demonstrasi yang diadakan sejak beberapa minggu lalu setiap kali selepas solat Jumaat bukan sekadar bantahan terhadap serangan Israel ke atas penduduk Gaza tetapi ia merupakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh rejim Zionis itu sejak 60 tahun dahulu.

Oleh itu demonstrasi perlu terus dilakukan supaya Amerika tidak semudahnya membenarkan Isreal berbuat sesuka hati terhadap Palestin dan Israel juga perlu melihat bantahan yang dibuat dari seluruh dunia ini sebagai penolakan terhadap apa yang mereka lakukan. Isreal dan Amerika mungkin boleh bersikap angkuh ketika ini tetapi ia tidak selamanya akan terus berkuasa.

Selain itu, demonstrasi besar-besaran harus tetap dilakukan agar Amerika mengiktiraf Hamas. Bantahan ini merupakan desakan kepada Amerika supaya tidak sewenang-wenangnya memberi restu kepada Isreal untuk terus menganyang Palestin. Presiden baru Amerika Syarikat, Barrcak Obama perlu melihat bantahan ini sebagai protes bukan hanya dari negara Islam tetapi negara-negara lain yang sudak muak dengan tingkah laku Israel.

Krisis berleretan selama enam dekad di bumi Palestin itu adalah antara krisis dan jenayah kemanusiaan teramat dahsyat dan antara yang paling menghanyirkan dalam sejarah moden. Sama sekali sanubari kita tidak terbayangkan bagaimana kanak-kanak, wanita dan golongan yang tidak berdaya berpanjangan menempuh ketakutan dan azab derita, di sana. Walhal Palestin pada satu masa merupakan wilayah yang penuh dengan sejarah janji dan kasih Tuhan untuk sekian manusia. Ini semua hanya pandangan peribadi saya bukan pandangan parti.

Bagaimana dengan kempen boikot barangan Amerika dan Yahudi. Pada pandangan Dato' adakah kempen ini berkesan dan perlu diteruskan?

Boikot barangan Amerika ini harus diteruskan. Biarpun ada yang beranggapan bahawa ia tidak akan memberi kesan tetapi setidak-tidaknya ia akan mewujudkan kepedulian dikalangan rakyat negara ini bahawa produk-produk yang dikeluarkan oleh Amerika yang dibeli itu merupakan dana yang membantu Israel untuk terus membedil Palestin.

Amerika perlu diajar dengan cara melemahkan atau melumpuhkan saja ekonominya. Seperti yang telah diperkatakan ramai, jika ekonomi Amerika lumpuh, maka bantuan terhadap Israel juga tidak akan mampu diteruskan. Ini merupakan kesedaran yang harus ada pada setiap rakyat negara ini. Kita tidak perlu gerun dengan Amerika atau tidak perlu terlalu bergantung harap dengan produk Amerika. Jika produk-produk ini tiada, ini peluang untuk anak tempatan mengeluarkan produk sendiri dan memasarkan bukan sahaj di dalam negeri tetapi juga di luar negara.

Tindakan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia, apakah sudah mencukupi atau perlu ditingkatkan lagi?

Setakat ini apa yang dilakukan oleh kerajaan memang mengecewakan. Sepatutnya sudah lama kerajaan memanggil duta Amerika, EU, Mesir dan Arab Saudi serta menyatakan bantahan secara rasmi kepada mereka terhadap apa yang dilakukan oleh Israel.

Kita bersetuju dengan cadangan supaya duta Amerika diusir sahaja dari negara ini tanda bantahan terhadap perilaku mereka yang menghalalkan tindakan zalim Israel. Sekali lagi perlu kita sedar bahawa tidak seharusnya kita gerun dengan Amerika.

Apa yang PAS tuntut dari kerajaan Malaysia supaya ia segera dilakukan dalam hal ini?

Seperti yang telah ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden sebelum ini, PAS sudah lama mengiktiraf Hamas. Jadi kerajaan Malaysia juga perlu mengiktiraf Hamas. Pengiktirafan kerajaan Malaysia ini bukan hanya setakat menyatakan di Parlimen tetapi perlu dengan cara memanggil wakil Hamas sebagai duta Palestin di negara ini. yang ada sekarang merupakan wakil dari Fatah.

Perlu kita ingat pada tahun 2006, dalam satu persidangan di Kuala Lumpur, kerajaan Malaysiaa menjemput wakil Fatah untuk memberikan ucapan sebagai wakil dari Palestin sedangkan ketika itu terdapat wakil Hamas dan kerajaan Hamas sudah dibentuk. Sikap kerajaan ini mengambarkan mereka tidak mengikitiraf Hamas.

Selain itu, kerajaan Malaysia hingga hari ini amat mengecewakan dari segi tindakan susulan. Kita sudah mencadangkan agar Malaysia mendesak negara-negara OIC mewujudkan sebuah pasukan ketenteraan dan memanggil persidangan tergempar OIC, kita boleh jadi tuan rumah. Tetapi nampaknya cadangan dari PAS tidak diendahkan. Apakah kita mahu menunggu lebih banyak nyawa terkorban di Palestin untuk kita memulakan satu tindakan proaktif.

(Rayuan Gaza - Penghuni gaza kini diselubungi kepayahan dan keperitan angkara Zionis. Kewajipan untuk kita menghulurkan bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza. Hulurkan Bantuan anda ke Tabung Kemanusiaan Harakah, 14069010021298 BIMB)

PAS berhasrat kembali perintah Terengganu - Ustaz Nasharuddin

KUALA TERENGGANU, 23 Jan (Hrkh)- Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mahukan semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat antara PAS, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP sentiasa dikekalkan.

Katanya, semangat kerjasama yang erat antara para petugas parti, penyokong termasuk pengundi telah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu.

Menurutnya, rakyat Terengganu telah menunjukkan sikap keberanian ingin membawa perubahan serta mesej kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Rakyat di Kuala Terengganu telah tunjukkan sikap mereka (pengundi) dan keberanian mereka dan yang paling penting telah menghantar mesej yang cukup jelas kepada Umno dan Barisan Nasional (BN)," ujarnya ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana Sempena Kemenangan PAS di Kampung Tanjung, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok mengingatkan para pemimpin Umno-BN agar tidak terlalu sombong dan angkuh dengan kuasa yang dimiliki itu.Ini kerana, katanya kuasa tersebut adalah dating dari rakyat yang memberi mandat dalam pilihan raya setiap lima tahun sekali.

"Jangan kamu (pemimpin Umno) sombong dengan kuasa yang ada pada kamu sebab kuasa kamu itu datangnya dari rakyat dan rakyatlah yang akan menarik kembali kuasa itu seperti yang dilakukan di Kuala Terengganu," tegasnya.

Katanya, semangat dan usaha tersebut perlu dikekalkan sehingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dengan hasrat PAS mahu kembali berkuasa di Terengganu.

Antara pimpinan tertinggi parti Pakatan Rakyat yang hadir sama dalam ceramah itu ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat Parti DAP, Lim Kit Siang.

BN retak menunggu belah - Presiden PAS

KUALA TERENGGANU, 23 Jan (Hrkh) - Kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu membawa satu isyarat yang jelas bahawa rakyat mahukan perubahan.

Dalam pilihan raya kecil kali ini, kerjasama Pakatan Rakyat antara PAS, Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) dan DAP adalah lebih kukuh dan kuat dari Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian pada majlis Ceramah Perdana Sempena Kemenangan Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu, di Kampung Tanjung, dekat sini, 21 Januari lalu.

Katanya, dalam Pakatan Rakyat terdapat pelbagai parti politik yang berbeza dasar dan ideologi masing-masing.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) juga mengandungi komponen parti politik yang pelbagai ragam dan telah memerintah dalam tempoh yang begitu lama.

"Pakatan Rakyat, kita (PAS) terdiri daripada pelbagai parti politik yang berbeza ideologi dan perbezaan ideologi adalah perkara biasa.

"BN juga mengandungi komponen parti politik yang pelbagai ragam. Mereka (BN) memerintah dalam tempoh yang begitu lama," ujarnya.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan rakyat terutama para pengundi di Kuala Terengganu telah menunaikan satu amanah yang besar bagi menentukan masa depan negara.

Katanya, rakyat telah mengajar Barisan Nasional yang telah menipu rakyat berpuluh-puluh tahun supaya rakyat tidak faham amanah besar daripada pilihan raya ini.

"Umno yang mengajar ilmu salah, mengajar politik untuk dapat duit, dapat benda. Rakyat ditipu berpuluh tahun dalam penderitaan.

"Pilihan raya adalah satu amanah untuk menentukan masa depan anak cucu kita akan datang dan kali ini rakyat di Kuala Terengganu daripada semua parti termasuk di kalangan Umno sendiri telah berjaya menunaikan amanah melalui politik pilihan raya," tegasnya.

Justeru kata Dato Seri Abdul Hadi, rakyat tidak wajar lagi menyerahkan amanah yang besar dan penting kepada parti yang gagal melaksanakan tugas tersebut.

Menurutnya, BN yang terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan Gerakan kini menghadapi masalah retak menunggu belah.

Katanya, pilihan raya adalah satu amanah memilih pemimpin dan kerajaan serta rakyat menjadi hakim apabila kerajaan membuat salah.

Janji jelajah seluruh negara balas budi - Wahid Endut

KUALA TERENGGANU, 23 Jan (Hrkh) - Populariti Mohd Abdul Wahid Endut naik sekelip mata dan mendadak selepas calon PAS itu yang mewakili Pakatan Rakyat memenangi kerusi Parlimen P036 Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 lalu.

Beliau berjaya menewaskan pencabar terdekat dari calon Barisan Nasional (BN), Dato Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas, Azharuddin Mamat@Adam dengan kelebihan majoritinya 2,631 undi.

Kemenangan tersebut sekaligus membuktikan rakyat di negeri ini juga mahukan perubahan terutama sokongan di kalangan pengundi muda. Namun begitu, disebalik kejayaan tersebut nama Abdul Wahid menjadi sebutan masyarakat setempat terutama di Kuala Terengganu yang diadakan pilihan raya kecil, baru-baru ini.

Harakah dimaklumkan, terdapat sejenis kuih yang dijual Bandar Kuala Terengganu diberi gelaran nama kuih 'Wahid Endut' oleh peniaga terbabit.

Tambahan pula, masih dalam suasana meraikan kemenangan PAS itu setiap hari tidak kurang 10 ekor lembu 'dikorbankan' bagi jamuan kesyukuran oleh Unit-unit Peti Undi (UPU) atau di peringkat cawangan di seluruh negeri.

Manakala, bagi ahli-ahli dan petugas parti yang bernazar turut diadakan upacara bercukur rambut termasuk ada yang menamakan bayi yang baru lahir dengan nama 'idola' tersebut. Namun begitu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut tetap merendah diri serta tidak sombong dengan populariti tersebut kerana menganggap itu adalah kemenangan rakyat.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu itu merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli parti, para petugas sama ada dari dalam dan luar negeri.
Katanya, kesungguhan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bekerja sepanjang tempoh 11 hai berkempen pilihan raya kecil tersebut amat dihargai dan akan dibalas dengan kunjungannya ke semua negeri-negeri terbabit.

"Saya ucap terima kasihlah kepada semua ahli-ahli PAS, KeADILan, DAP dan Kelab Penyokong PAS dari dalam negeri dan luar negeri berkempen untuk memenangkan saya (PAS) dan Pakatan Rakyat.

"Saya berjanji akan berkunjung ke negeri-negeri termasuk di Sabah dan Sarawak yang cukup berminat dan bersemangat datang membantu kita (PAS)," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan siri lawatan ke Kampung Tiong dan Kampung Cina bagi bertemu serta mengucapkan terima kasih kerana menyokong PAS dalam pilihan raya kecil, baru-baru ini.

Jumaat, 16 Januari 2009

BERUBAH UNTUK KEMENANGAN RAKYAT

Ayuh!! kepada saudara-saudaraku yang berada Parlimen kuala terengganu supaya memberi undi kapada calon pas dan kepada yang berkhidmat di luar negeri supaya pulang menunaikan tanggungjawab yang penting untuk menentukan Wakil Rakyat bagi Parlimen Kuala Terengganu. Insy'Allah Wakil Rakyat yang dapat menyuarakan suara rakyat P036 kuala terengganu ke Parlimen... satu undi sangat berharga....
UNDI ANDA PENENTU KEMENANGAN RAKYAT !!!
ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR...ALLAHUAKBAR...

BN beli IC orang PAS pula!

KUALA TERENGGANU, 16 Jan - Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin BN menerusi calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh boleh menang asalkan jentera partinya bekerja kuat turun menemui rakyat.

Pagi ini, dalam masa tidak kurang 12 jam sebelum waktu mengundi, BN sekali lagi terpaksa menggunakan strategi terdesaknya berhabisan dengan 'M' ketiganya 'Money' untuk merealisasikan impian pimpinannya itu bagi memenangkan calon mereka. Terutamanya apabila 60 peratus pengundi dilihat lebih cenderung mengundi calon Pas, Haji Abdul Wahid Endut.
Dalam pilihan raya kecil ini, peluang cerah calon Pas menewaskan calon dilihat menakutkan BN dalam menghadapi saingan sengit ini. Berikutan 'sampling' Merdeka Centre yang mendapati 46 peratus pemilih Melayu dan 56 peratus Cina bercadang mengundi pembangkang ternyata meresahkan jentera terutamanya pimpinan BN.
Rasuah RM1,000 yang didedahkan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dalam posting blog beliau "Kuala Terengganu... Buy-election" menarik perhatian wartawan kami menjejaki bukti-bukti berkaitan.
Wartawan bertugas menemui terus individu yang dimaksudkan, Mat Jusoh, 45, bagi membantu mendapat pengakuan terus dari ahli Umno berkenaan strategi dilakukan di sekitar kawasan Losong Dun Wakaf Mempelam dan diyakini akan di teruskan ke seluruh kawasan Kuala Terengganu.
"Petugas-petugas Umno BN ditawarkan RM1, 000 untuk membeli 1 kad pengenalan pengundi, terutamanya pengundi yang di ketahui statusnya akan mengundi calon Pas," ujarnya.
Dan menurut beliau, penduduk tempatan turut memberitahu, tawaran telah meningkat sehingga RM1,000 bagi setiap undi. BN berusaha mengurangkan undi calon Pas dengan membeli kad pengenalan pengundi lantas mengakibatkan pengundi tidak dapat keluar mengundi Sabtu nanti.
Terdahulu, sewaktu pembangkang menyuruh para pengundi mengambil wang dari BN tetapi mengundi pembangkang dipergunakan BN pula dengan 'Pangkah BN, ambil gambar kertas undi, dapat RM1,000'.
Tambah beliau, sekarang tersebar meluas cerita bahawa seseorang pengundi dikehendaki menggunakan telefon tangannya yang mempunyai kamera untuk mengambil gambar kertas undi yang telah pun dipangkah untuk calon BN sebelum beliau boleh mengambil sogokan RM1,000 itu.
"BN menggunakan teknologi untuk memastikan seseorang pengundi benar-benar mengundi calon BN kerana sebelum ini pembangkang menyuruh para pengundi mengambil wang dari BN tetapi mengundi pembangkang," ujarnya.
Manakala, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula dengan yakin menjangkakan peratusan yang akan keluar mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Sabtu ini sama seperti ketika pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu.
Jika benar menurut sumber berkaitan strategi kotor BN ini, kita akan lihat bersama dan mengadili melalui peratusan yang akan keluar mengundi Sabtu nanti oleh SPR dan bandingkan kebenarannya maklumat dari orang 'grass root' Umno ini.
Andai benar, terbukti ini petanda teruk dalam karier politi Najib seandainya dia berjaya mengambil alih pentadbiran Pak Lah Mac nanti, dan perkataan "buy-election" ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi itu bukan salah taip. Ia memang pilihan raya yang boleh dibeli dengan wang.

Kaca mata - Polemik polis, BN kalah sekali lagi

KUALA TERENGGANU, 16 Jan - Kehadiran polis yang ramai di Kuala Terengganu telah menarik perhatian orang ramai samaada penduduk di daerah ini mahupun petugas pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
Selama setengah jam wartawan bertugas mengelilingi bandar, berhenti kami seketika di tepi jalan, melihat kelibat 5 buah kereta peronda, 8 buah motorsikal Kriss, 4 buah motorsikal polis trafik, 4 buah trak FRU dan sebuah van balai polis bergerak melintas di hadapan kami.
Kenderaan yang melalui Jalan Kuala Ibai ini menarik perhatian kami kerana buat pertama kalinya kami melihat semua jenis kenderaan polis yang menuju ke arah berbeza melintas di hadapan kami.
Dan pastinya ada pemandu yang memperlahankan ketika melintasi kawasan ini, kerana pegun dengan fenomena ajaib ini, yang jarang sekali berlaku dalam mana-mana pilihan raya kecil sekalipun.
Namun begitu, BN masih mendakwa pembangkang sengaja mempolemikkan soal kehadiran polis itu dalam ceramah-ceramah politiknya. Malah, lidah rasmi Pas, Harakahdaily turut diheret sama kononnya Pas meng'kambing hitamkan' isu polis ini dalam soal kaedah mudah memenangkan calon BN pada pilihan raya kali ini.
Adakah dakwaan BN ini turut dipersetujui oleh semua pihak? Maka, media yang memihak kepada parti pemerintah itu, Berita Harian turut sama membuat satu tinjauan di dalam kolum rasminya untuk pilihanraya kecil ini.
Sekali lagi hasil tinjauan Berita Harian 'poll' itu mencabar kewibawaan BN selaku parti pemerintah apatah lagi calon mereka adalah Bekas Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Rata-rata pembaca Berita Harian sendiri tidak setuju tinjauan kehadiran ramai polis pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu sengaja dipolemikkan pihak tertentu.
Malahan, sehingga jam 9 pagi tadi sebanyak 67.6 peratus pembaca tidak mengundi tidak bersetuju, manakala 30.3 peratus lagi bersetuju dan 2.0 peratus masih bersikap berkecuali. Ternyata kehadiran polis yang berkampung di Kuala Terengganu ini meresahkan orang ramai bukan hanya kepada pembangkang sahaja seperti yang didakwa mereka sebelum ini.
Terdahulu, pembangkang menyatakan Farid mempergunakan PDRM bagi kepentingan diri, namun ia disangkal oleh pemimpin BN yang menganggap pembangkang hanya memperbesarkan isu.

Rabu, 14 Januari 2009

Undi PAS untuk keberkatan dalam hidup

KUALA TERENGGANU, 14 Jan - PAS sebagai Parti Islam, mempunyai tanggungjawab sosial untuk menterjemahkan Islam kepada kehidupan masyarakat. Sebab itu memilih PAS akan mendatangkan keberkatan di dalam kehidupan masyarakat di Kuala Terengganu ini.

Masalah sosial terutamanya dikalangan remaja semakin bertambah teruk, dan inilah hasil daripada pemerintahan UMNO selama 52 tahun di negara ini.

YB Dr Hasan Ali bercakap di dalam ceramah umum sempena pilihanraya kecil Kuala Terengganu di Kg Panji semalam. Beliau berkata bahawa, antara punca utama kerosakan anak-anak muda hari ini, disebabkan UMNO meracuni pemikiran mereka.

Menurut beliau, selama 52 tahun pemerintahan UMNO/BN gejala sosial ini tidak dapat dibendung.

Buktinya media elektronik seperti TV dan radio yang dikawal UMNO/BN terus dimonopoli dan dipenuhi dgn program-program yang lebih banyak mendatangkan masalah sosial di dalam masyarakat. Majalah-majalah dan bacaan hiburan dibiarkan mengawal minda mereka.

Statistik jenayah dan masalah remaja juga semakin meningkat sehingga berada pada tahap yang sangat menggerunkan.

"Saya melihat sekarang ini orang-orang muda di Terengganu tidak jauh beza dengan Kuala Lumpur. Tuan-tuan inilah budaya hidup yang dibawa oleh UMNO" kata beliau merujuk kepada masalah anak-anak muda di Kuala Terengganu.

Oleh yang demikian kata beliau, PAS perlu diberikan kemenangan di Kuala Terengganu untuk menjadi penawar kepada racun yang serap masuk oleh UMNO ini.

Beliau juga menceritakan ketika berjumpa dengan pengundi-pengundi cina dan mengajak mereka mengundi PAS, mereka berkata YB Dr Hasan tidak perlu risau, tetapi pengundi-pengundi cina ini lebih risaukan pengundi melayu yang jumlahnya jauh lebih ramai daripada mereka.

Ini juga menunjukkan bahawa pengundi cina dapat melihat kebaikan mengundi calon PAS berbanding BN.

BN tertekan, tutup markas DAP

KUALA TERENGGANU, 14 Jan (Hrkh) - Setelah melihat sokongan pengundi Cina yang mendapat sambutan luar biasa, Barisan Nasional (BN) kini berada dalam keadaan tertekan sehingga memaksa mereka 'menutup' bilik gerakan DAP yang terletak di Kampung Cina kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Kejadian tersebut berlaku pada 12 Januari lalu, apabila bilik gerakan tersebut yang terletak di No.44, Jalan kampung Cina diarahkan pimpinan BN kerajaan negeri Terengganu ditutup.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, pihaknya telah mengadakan perjanjian dengan pemilik bilik tersebut untuk dijadikan markas DAP bermula dari 6 sehingga 17 Januari ini.

"Saya sendiri telah menyelesaikan sewa yang berjumlah RM3500 kepada pemiliknya, namun kami hanya sempat menggunakannya selama seminggu sahaja setelah diarah keluar oleh tuan punya premis," ujarnya kepada Harakah.

Bagaimanapun pihaknya yakin dengan insiden tersebut akan menambahkan lagi rasa benci pengundi cina kepada Umno-BN.

"Bagi saya, ini bukan masanya untuk bertegang dengan pihak lawan. Kita keluar dengan lunak dan mendapat simpati daripada masyarakat Cina setempat yang menyaksikan sendiri tindakan kerajaan negeri yang tidak 'fair-play' ini.

"Kenapa semasa kami mohon sewa stadium untuk pengisytiharan calon dibenarkan dan yang ini dihalau keluar pula?" ujarnya lagi.

Ini menunjukkan BN berada dalam keadaan yang sangat tertekan dengan sokongan pengundi setelah mereka dapat menilai sendiri sekatan oleh kerajaan Umno-BN terhadap kemudahan yang ada, katanya.

"Hal ini sekaligus akan menguatkan lagi sokongan para pengundi cina secara tidak langsung," katanya lagi.