Jumaat, 30 Januari 2009

Kuala Terengganu - PAS tidak benarkan sama sekali Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang disandangnya sejak lima penggal lalu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sempena majlis kenduri kesyukuran PAS di pejabat perhubungan negeri, Jalan Sultan Omar, disini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Wahid dalam sidang media yang sama apabila ditanya para wartawan berkaitan spekulasi bahawa satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan di Terengganu berikutan kemenangannya.

Wahid menyifatkan berita beliau melepaskan DUN adalah khabar angin dan tidak berasas sama sekali dan menegaskan sekali lagi akan meneruskan tindakan terhadap akhbar mingguan WATAN sekiranya akhbar tersebut tidak membetulkan kenyataannya atau memohon maaf.

"Ada yang kata saya akan lepas DUN tersebut untuk beri tumpuan sebagai Ahli Parlimen, semua ini tidak betul. Itu berita tak benar,“peguam akan teruskan tindakan sekiranya WATAN tidak minta maaf atau membetulkan semula berita spekulasi yang tidak beretika" kata Wahid.

Pada 18 Januari lalu, dalam sesi bersama wartawan di rumahnya, Wahid telah menegaskan beliau akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.

Namun demikian, akhbar WATAN bil. 22 keluaran Ahad 25-31 Januari dengan sengaja menjadikan berita tersebut sebagai sensasi dan mendakwa Wahid akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sekaligus satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu akan diadakan.

Editor Akhbar Mingguan WATAN, Zabidi Haji Saidi mengaku bahawa berita yang dikeluarkan oleh akhbar dibawah seliaannya bertajuk ‘Wahid Lepas Adun’ hanya sebuah berita spekulasi.

Tiada ulasan: