Khamis, 29 Januari 2009


Kemaman – Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang kini menjadi sasaran pemimpin UMNO Terengganu dikatakan menjadi faktor kekalahan UMNO dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

JKKK dituduh melakukan penyelewengan menyebabkan peruntukan yang di salurkan oleh kerajaan negeri tidak sampai kepada sasaran. (Gambar - Dato Mustafa bersalaman dengan Hj Johan, Bendahari MTD Chukai)

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dato’ Mustafa Ali menolak tuduhan yang mengatakan bahawa semua JKKK melakukan penyelewengan tersebut.”Bukan semua JKKK yang bertindak begitu, ada JKKK yang berlaku adil mengagihkan peruntukan yang diberikan,”tetapi JKKK yang melakukan penyelewengan adalah mengikut jejak langkah pemimpin atasan UMNO,”kata beliau dalam ceramah meraikan kemenangan PAS di Kampung Geliga, dekat sini, malam kelmarin.

Beliau berkata JKKK hanya mendapat kontrak kelas F daripada projek-projek yang dilaksanakan, tetapi pemimpin atasan UMNO mendapat kontrak kelas jutaan ringgit malah ratusan juta ringgit.Oleh itu katanya JKKK mengambil keuntungan sedikit daripada projek-projek tersebut, namun pemimpin atasan UMNO mendapat laba yang lebih besar.

Katanya tindakan JKKK mengambil untung daripada projek-projek kerajaan adalah kerana mereka melihat pimpinan atasan mereka meraih untung yang berganda.”JKKK buat projek kerajaan bukan untuk mencapai sasaran dan mengambil untung kerana dia (JKKK) lihat pimpinan UMNO diatas ’baham’ lebih lagi,”katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu menggesa supaya pemimpin UMNO melihat dulu kepada diri masing-masing sebelum mahu mengambil sebarang tindakan kepada JKKK.

Justeru katanya rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin atasan UMNO perlu di hapuskan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap JKKK.

Tiada ulasan: