Sabtu, 10 Julai 2010
Jumaat, 5 Mac 2010
JUBLI PERAAK SEMPENA 25 TAHUN PAS KAWASAN MARANG
RUSILA - Pas Kawasan Marang akan menganjurkan pelbagai aktiviti sempena sambutan Perayaan Jubli Perak Pas Kawasan Marang, 12 dan 13 Mac ini.
Ketua Penerangan Pas Kawasan Marang, Sidek Abu Bakar berkata, sempena perayaan itu juga, pameran perdagangan akan diadakan termasuk rawatan as-syifa.
Menurutnya, pada 12 Mac ini, Pertandingan Menjala Terbuka peringkat negeri diadakan di Rusila.
“Malamnya, kami mengadakan ceramah perdana diketuai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut serta, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali,” katanya.
Pada 13 Mac pula, Pertandingan Larian Jubli Perak bagi kategori kanak-kanak dan terbuka bermula dari jam 7.30 hingga 9 pagi.
Pada petangnya, pertandingan memasak, anyaman, mewarna, melukis poster, gubahan tuala, me-ngikat aiskrim, membungkus ketupat pulut, dan pelbagai lagi diadakan pada jam 2.30 petang sehingga jam 7 malam.
Sebelah malamnya pula, Malam Kesenian Islam akan bermula jam 9 sehingga jam 12 malam.
Antara artis yang membuat persembahan adalah Kumpulan Saujana dan penyajak Dinsman.
Sementara itu, Sidek berkata, Pertandingan Memancing 2010 Peringkat Kebangsaan akan diadakan 13 Mac ini di pesisir Pantai Rusila dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
“Yuran pendaftaran bagi setiap joran adalah RM30 dan RM50 bagi penyertaan dua joran. Kami menyediakan 300 kemeja T percuma kepada penyertaan terawal.
“Hadiah ditawarkan cukup lumayan iaitu motosikal Honda EX5 bernilai RM5,000 bagi tempat pertama, TV LCD 42 inci bagi tempat kedua, peti sejuk dua pintu bagi tempat ketiga dan hadiah barangan elektrik seperti kipas, seterika serta mesin pengisar bagi tempat keempat hingga ke-20,” katanya.
Menurutnya, pendaftaran bagi pertandingan memancing peringkat kebangsaan boleh dibuat dari 12 Mac, bermula jam 3 petang di Rusila. Sebarang keterangan lanjut, boleh menghubunginya menerusi talian 019-9201704.
Sabtu, 27 Februari 2010
Jangan sambut kelahiran Nabi sekadar cogan kata - TOK GURU PRESIDEN
Apa yang penting, katanya, mengambil kefahaman serta pengajaran dari kelahiran Nabi s.a.w. dengan menghayati ajarannya yang sebenar.
“Marilah kita mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan kerasulannya ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini bukan hanya sekadar mengagungkan cogan kata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajarannya yang sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.
Bahkan, katanya Allah SWT mewujudkan keadaan dunia yang benar-benar berhajat kepada petunjuk daripada Allah yang dibawa oleh seorang rasul yang paling hebat di kalangan rasul-rasul yang diutuskan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, cahaya Allah Taala (Islam) itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja termasuk kuasa besar dunia.
Menurutnya, meski pun umat Islam mengalami ‘hakisan’ serta kekurangan yang lemah hingga berlaku pasang surut tetapi agama Islam itu tetap akan terpelihara serta tidak boleh dihapuskan pada hari ini hingga ke hari kiamat.
JANGAN ROSAKKAN JAMAAH - JOM USRAH
1. Jamaah adalah flatform atau wadah perjuangan kita untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini . Fungsinya menggantikan khilafah yang telah runtuh sejak sekian lama .
2. Justeru itu , Jamaah ini [ PAS ] mesti dibaca dan dihayati sebagai sebuah Gerakan Islam bukan sebuah parti politik semata – mata . Meskipun ia menyertai pilihanraya dan menerima sistem demokrasi yang tidak bercanggahan dengan syariat , namun ia hanya sebahagian dari tugas besar dan utama sebagai sebuah Gerakan Islam.
3. Ini perbedaan utama PAS dengan parti – parti politik yang lain . Selain dasar dan prinsip perjuangannya ialah Islam , PAS juga mesti tegak dengan sistem pengkaderan syakhsiyah dan pembinaan ruhiyyah yang mantap dan istiqamah.
4. Inilah kekuatan PAS dan inilah juga sebenarnya rahsia kehebatan dan keunggulan PAS . Memisahkan PAS dari elemen – elemen spiritual dan amal tarbawi ini akan meletakkan PAS tidak ubah seperti parti – parti politik yang lain dan pastinya PAS akan hilang keistemewaan dan kewibawaannya.
5. Akhir – akhir ini , seperti wujud satu gerakkan terancang untuk menghakis nilai – nilai fundamental ini daripada PAS sekaligus untuk meletakkan PAS hanya sebagai sebuah parti politik yang bertarung dan bergelut di medan demokrasi malah berusaha untuk meletakkan PAS sepenuhnya menganut faham demokrasi .
6. Menjenamakan PAS sebagai sebuah parti politik bukan lagi sebagai sebuah Gerakan Islam , sebenarnya merupakan satu episod untuk memudahkan usaha segelintir pihak yang kini sedang bekerja keras mahu mengikis penghayatan terhadap prinsip wala’ , thiqah , ukhuwwah , dengar dan taat kepada arahan jamaah di dalam PAS .
7. Wala’ , thiqah dan taat membuatkan mereka tidak bebas mengatur gerak langkah dan merancang strategi berasaskan kemahuan mereka . Terma – terma ini senantiasa menghantui pemikiran dan membayangi tindakan mereka . Lantaran itu , mutaakhir ini sangat ketara idea dan tindakan yang meremehkan isu wala’ , thiqah dan taat .
8. Segera mereka meletakkan definisi yang negatif kononnya wala’ , thiqah dan taat ini membuatkan anggota parti terkongkong dan tidak bebas mengkritik pemimpin mereka secara terbuka di dalam blog atau media . Sedang cara mudah untuk menjatuhkan seseorang pemimpin pada era ini ialah mengkritik mereka secara terbuka dan membentuk persepsi yang negatif terhadap mereka pada mata umum .
9. Semakin hari , kelihatan sikap mengkritik pimpinan dan jamaah secara terbuka [meskipun saluran dalaman parti luas tersedia ] termasuklah mempertikai keputusan – keputusan parti kian menjadi budaya . Terdorong oleh rasa tidak puas hati dan api dendam yang tidak pernah padam , bukan sahaja kisah – kisah lama yang tidak berkepastian terus diungkit bahkan polemik – polemik baru terus dicipta reka untuk meretakkan jamaah dan membinasakannya atas alasan yang cukup mempesona iaitu ” saya buat begini kerana saya sayangkan jamaah …” barangkali ini juga sama sebagaimana kata bidalan ” seperti tikus membaiki labu “
10. Jamaah mempunyai akhlak , adab dan disiplinnya yang tersendiri . Jika ianya diambil dengan tepat dan cukup melalui skima yang tepat serta manhaj yang tulen , Jamaah ini akan dihuni oleh pimpinan dan anggota yang :
a ] erat hubungan ,
b ] mantap tindakan dan
c ] kukuh benteng pertahanannya .
Malangnya hari ini , terdapat segelintir pimpinan dan anggota yang cepat terpengaruh dan terkesan dengan propaganda cyber trooper dari musuh yang kini bijak menyelinap . Berasaskan realiti inilah , usrah menjadi satu mekanisme yang masih kukuh bertahan untuk menjadi
a ] medan penyatuan fikrah ,
b ] tali penghubung ukhuwwah
SUASANA PERTANDINGAN MEMANCING IKAN DARAT
Kami bagi pihak pemuda mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua AJK Pemuda Caw, AJK surau Pok De, Dan semua yang terlibat menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada peserta yang mengikuti program ini supaya berpuas hati dan tunggu program kami yang akan datang. Insya'Allah.
Selasa, 16 Februari 2010
Isnin, 7 Disember 2009
‘Nyawa’ Umno bergantung kepada wang
“(Pemimpin) Umno, nyawa mereka hanya wang. Kalau tidak ada wang, mereka susah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh di Kampung Gong Merawang, dekat sini, petang semalam.
Ini, katanya berbeza dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS yang menjadikan agama yang suci itu sebagai 'nyawa' dalam menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan para penerima bantuan supaya tidak menjadikan kebendaan sebagai keutamaan dalam kehidupan sebaliknya berbangga dengan nikmat Islam dan iman.
“Nikmat yang paling besar kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Islam dan iman,” ujarnya.
Justeru, tambahnya walaupun sumbangan yang diterima pada majlis itu tidak seberapa tetapi para penerima hendaklah menyedari bahawa PAS sentiasa prihatin terhadap masyarakat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda MTD Ru Rendang mewakili bapanya selaku Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan bantuan itu kepada penerima. (Gambar)
Sebanyak 101 keluarga menerima sumbangan pada majlis pertama kali anjuran PAS Cawangan Kampung Baru Ru Muda itu yang terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan mangsa banjir.
Menurut ketuanya, Haji Abdul Aziz Ngah, pihaknya sebelum ini sering mengadakan aktiviti kebajikan tahunan seperti penyampaian sumbangan hari raya, bantuan persekolahan dan mangsa yang ditimpa musibah.
Katanya, PAS cawangan menyedari masalah yang dihadapi oleh para penduduk yang terdiri daripada nelayan, penoreh getah dan bekerja sendiri yang tidak dapat melakukan aktiviti harian pada musim tengkujuh.
“Bagi meringankan bebanan hidup mereka, yang sudah tentu menyulitkan mereka mencari rezeki untuk menyara keluarga, maka kami berusaha memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian ini,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang yang sentiasa memberikan sokongan bagi menjayakan aktiviti kebajikan PAS cawangan kepada masyarakat setempat.
Rabu, 2 Disember 2009
Selasa, 1 Disember 2009
Rabu, 25 November 2009
Jumaat, 13 November 2009
Tiada lafaz 'cerai talak tiga' dalam bai'ah PAS
Penafian itu dibuat Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali setelah beliau sendiri menyiasat dakwaan tersebut sebagaimana diarah Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, kesemua negeri menggunakan lafaz bai'ah rasmi tersebut kecuali sedikit berbeza bagi wakil rakyat mereka di Selangor.
"Presiden kata benda ini (bai'ah talak tiga) tidak berlaku dan dia minta saya siasat semua negeri."
"Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan ini (iaitu Islam), maka saya akan dilaknat oleh Allah, para Malaikat dan para pelaknat," lafaz baiahnya dibaca di hadapan wartawan.
Jelasnya, bai'ah yang dilakukan PAS sekadar mekanisme biasa bagi mengikat wakil rakyat parti demi memastikan para mereka tidak mengkhianati amanah parti.
"Oleh kerana PAS memperjuangkan Islam, maka menggunakan bai'ah...sama seperti BN sendiri, wakil rakyat yang menang diminta tandatangan satu surat tanpa tarikh yang ditujukan kepada Speaker (Dun dan Parlimen) memaklumkan bahawa dia meletak jawatan. Jadi, Surat itu digunakan bila wakil rakyat lompat parti."
Tambahnya lagi, bai'ah PAS Selangor beberbeza dengan negeri-negeri lain mungkin disebabkan bimbang para wakil rakyatnya dibeli BN kelak.
"Ada kebimbangan akan ada wakil rakyat lompat parti sebab yang beli biasa parti pemerintah (Umno dan BN)."
Beliau juga menjelaskan bahawa beberapa pemimpin PAS yang menggunakan media untuk mengulas isu 'bai'ah talak tiga', telah pun diberi nasihat agar tidak mengeruhkan keadaan lagi.
Beliau juga menasihatkan pihak media agar tidak memanjangkan isu tersebut, setelah mendengar penjelasannya hari ini.
Rabu, 11 November 2009
Pemuda PAS dan Aziz adakan pertemuan susulan
KUALA LUMPUR, 11 Nov: Selepas para exconya mengasak Profesor Dr Aziz Bari dalam seminar memperkasakan parti Sabtu, 7 November lepas, pimpinan Dewan Pemuda PAS dan Aziz beramah mesra pulahari ini.
Pertemuan susulan Pemuda PAS dengan tokoh akademik ini pada hari ini, menunjukkan keterbukaan sayap PAS dan Aziz menerima kritikan dan pandangan pelbagai pihak.
Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan berkata, pertemuan tersebut juga sebagai peluang kepada Pemuda PAS menilai keberkesanan gerak kerja mereka disamping mengambil input positif dan berguna bagi lebih memperkemaskannya.
"Ini menunjukkan sikap keterbukaan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mendengar pandangan serta kritikan dan mengambil input-input positif dan berguna daripada semua pihak termasuk tokoh akademik," katanya pada sidang media selepas pertemuan tersebut.
Pertemuan khas hampir dua jam itu berlangsung secara tertutup di pejabat DPP bangunan PAS Jalan Raja Laut dan turut disertai beberapa Ahli jawatankuasa harian Pemuda PAS.
"Kami Pemuda PAS mengambil sikap menghormati kritikan dan pandangan itu dan wajar kita mendengar dan mendapatkan asas-asas kritikan dan teguran yang dilemparkan kepada PAS," ujarnya lagi.
Meskipun mengakui kritikan Dr. Abdul Aziz terhadap PAS sangat keras, namun Nasaruddin yakin tindakan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu bertujuan melihat PAS terus teguh dipersada politik negara.
"Saya menghargai kesudian dan kesungguhan Prof. Aziz Bari ini untuk memberi pandangan dan idea.
"Walaupun beliau bukan daripada orang dalam parti, tetapi melihat parti ini perlu bergerak aktif dan melakukan perubahan positif, " katanya lagi.
Beliau juga turut mengakui ada sesetengah pandangan Dr. Abdul Aziz tidak dipersetujui DPP namun mereka mengambil sikap terbuka dan masing-masing saling menghormati perbezaan tersebut.
"(Perbezaan) itu tidak lah besar sangat, lebih kepada persepsi.
"Beliau ahli akademik membuat persepsi dari luar sedangkan kami dalam parti mempunyai pemerhatian sendiri.... apa yang penting kita tetap menghormati tulisan beliau," katanya.
Ahad, 8 November 2009
Penyebar maklumat bohong diseksa di neraka – Presiden PAS
Sabtu, 7 November 2009
Resolusi Seminar Memperkasakan PAS
1. PAS dan Pakatan telah melepasi ujian setahun setengah mengurus pemerintahan empat buah negeri dalam penggal parlimen ke-12 ini.
Baik-buruk, kejayaan-kegagalan negeri-negeri Pakatan ini telah mula mendapat perhatian umum. Pengiktirafan kejayaan telah pun diktiraf seperti Laporan Ketua Audit Negara 2008.
PAS dan Pakatan mutakhir ini terperangkap dalam kemelut-kemelut yang merosakkan imej dan tanggapan umum terhadap kredibiliti dan kesepaduan Muafakat Politik ini. Benar media BN jahat memainkan isu-isu ini, tetapi PAS/Pakatan wajar menginsafi bahawa punca-sumber laporan-laporan tidak wajar kita salahkan pihak lain sebab kita juga bertanggungjawab.
3. PAS dan Pakatan sangat-sangat berhajatkan untuk terus memperbaikki "Persepsi" rakyat dan pengundi bahawa Muafakat Politik Pakatan adalah mantap dan matang, bersedia memikul tugasan menjadi Pemerintahan di peringkat Persekutuan bagi membawa Negara ini ke garis prestasi yang lebih berdayasaing, makmur dan sejahtera. Keutuhan dan kemantapan ukhuwwah dalam saff yang menjadi asset dan anasir kekuatan utama dalam jamaah dan parti telah sedikit terjejas dalam pergolakan mutakhir ini.
Seminar Politik Memperkasa Parti dengan ini merakamkan bahawa:
1. Peri-pentingnya PAS menyerlahkan keupayaan satu kepimpinan parti yang bijak, kompeten dan matang dalam mengurus perbedaan dalam parti dalam semangat musyawwarah memlalui mekanisme parti secara berkesan.
2. Pimpinan tertinggi parti wajar melaksanakan tugasan utama pimpinan sebagai 'ta alluf al-quluub' yakni mempertautkan ahli-ahli dalam saff yang kukuh.
3. PAS wajar mengingatkan kepada kepimpinan negeri yang memerintah kerajaan negeri, ahli-ahli EXCOnya yang menganggotai kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain supaya senantiasa memelihara semangat muafakat politik Pakatan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh dipersepsi sebagai menjejaskan dan memudharatkan keutuhan kerajaan negeri.
4. PAS wajar segera mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci (dengan ketat) segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda "Kerajaan Perpaduan".
Seminar Politik Memperkasakan Parti mengesyorkan pimpinan tertinggi parti untuk:
1. Terus memperkukuhkan Pakatan dan meningkatkan persiapan untuk mengahadapi PRU ke-13 dengan sentiasa proaktif dalam memudahkan Pakatan melaksanakan serta menguruskan urusan kerajaan-kerajaan Pakatan dengan penuh keikhlasaan serta semangat setiakawan yang tinggi.
2. Kepimpinan Kawasan yang memilikki penduduk-pengundi bukan-Islam yang ramai supaya bertindak dengan lebih agresif untuk mengaktifkan Kelab-kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.
3. Memantapkan rumusan pendirian-pendirian parti berdasarkan maklumat dan penyelidikan (informasi), kemudian menurunkan dan menyalurkan kesemua ini dalam pengarahan yang jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi keahlian parti di semua kawasan dan cawangan di seluruh negara.
4. Membuat pengarahan yang jelas kepada Dewan Pemuda dan Nisa’ dengan KPIsnya, supaya segmen pengundi muda yang sedikit terjejas terhadap PAS mutakhir ini, dikembalikan keyakinan dan sokongan mereka kepada PAS. Juga dipertegaskan pentingnya untuk memugarkan kegiatan Unit ‘Amal dengan mempraktikkan modul yang telah sedia ada.
5. Membuat satu "Pelan Tindakan" bagi menghadapi PRU ke-13, bagi memperkukuhkan sokongan yang sedia ada di kalangan orang Islam-Melayu dan memuatkan satu ‘Roadshow Nasional’ bagi menerangkan tema “Pas For All” atau PAS untuk Semua” bagi melebarkan tapak sokongan merentasi semua agama, kaum dan budaya.
Seminar Politik Memperkasakan Parti
7 November 2009, 19 Zulkaedah 1430H.
Khamis, 29 Oktober 2009
PAS adakan seminar ganti muktamar khas
Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.
Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.
Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.
Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.
Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.
_______________
KOMEN PEMBACA
_______________
1.Sepatutnya tidak lagi timbul sebarang perbahasan berkaitan perkara tersebut. Musuh - musuh Islam sentiasa mencari jalan dan memperalatkan segolongan yang mengaku Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum syara,. mereka ini hanya menyalak untuk menarik perhatian awam akibat daripada kehilangan sokongan yang ketara dikalangan rakyat semasa pilihanraya umum lalu. Tekanan jiwa yang dialami oleh golongan tersebut semakin ketara. Qunut Nazilah adalah senjata utama kepada pendukung gerakan islam. Insya Allah yang Haq pasti menang dan Kebathilan pasti akan menemui kehancuran. Takbir. -Yusoff Abdul._
Wartawan penuh menunggu mesyuarat khas JK PAS Pusat
Turut serta di sebelahnya adalah Mursyidul Am yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz tiba ke pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut jam 8.40 malam. Ia disambut oleh Abdul Hadi dan kedua-dua mereka berbual mesra sambil Abdul Hadi memerhatikan Nik Aziz makan malam.
Abdul Hadi sampai lebih awal dan telah selesai makan malam di situ.
Nik Aziz kelihatan makan nasi berlauk ayam goreng yang disediakan oleh pejabat Agung PAS untuk semua peserta mesyuarat itu.
Di pintu masuk Pejabat Agung, berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar menunggu ketibaan para pimpinan PAS itu.
Bagi meraikannya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah memutuskan untuk membenarkan kesemua mereka mengambil gambar pimpinan PAS itu sebelum mesyuarat bermula.
Maka berlari-larilah para jurugambar memanjat anak tangga bangunan PAS itu ke tingkat lima, tempat mesyuarat berlangsung, menggunakan tangga.
Ini kerana, hanya satu lif sahaja yang ada di bangunan itu dan mereka bimbang tidak sempat merakamkan detik bersejarah dalam PAS itu.
(Gambar:Abdul Hadi menyambut ketibaan Nik Aziz di luar bilik mesyuarat)
Namun, para petugas PAS telah bersedia menghadapinya dan hanya membenarkan mereka masuk mengambil gambar apabila kesemua mereka sudah berada di tingkat 5 bangunan PAS itu.
"Waw ramainya," sungut para pemimpin PAS yang memenuhi Dewan Mesyuarat Utama Pejabat Agung PAS itu apabila jurugambar menyerbu masuk.
Pelbagai ragam mereka mengambil gambar para pimpinan PAS. Yang menjadi fokus adalah Andul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang duduk sebelah menyebelah dalam mesyuarat ini.
Mereka meminta kedua-duanya senyum, bersalam, memandang kamera dan sebagainya.
Semuanya dipatuhi dengan baik oleh kedua-duanya di samping timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.
Mesyuarat ini dijangka selesai menjelang jam 12 malam. Adalah dipercayai satu sidang akhbar akan dibuat selepas itu kerana wartawan penuh di hadapan bangunan PAS bagi menunggu keputusan mesyuarat khas ini.
Isnin, 26 Oktober 2009
"Isu Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)"
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.
Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini.
Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini.
Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru.
Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.
Saya juga sudah mengarahkan Dato? Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini.
Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.
Dato? Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
6 Zulkaedah 1430 H bersamaan 25 Oktober 2009
sumber : harakahdaily
Ahad, 18 Oktober 2009
Beliau yang ditemui sejurus selesai ucaputama semalam berkata ia merupakan arahan kepada jentera dan petugas-petugas parti dan mengggambarkan satu pengharapan yang begitu baik terhadap masa depan.
”Satu ucapan yang menjuruskan kepada pengarahan kepada jentera dan petugas parti, menggambarkan satu pengharapan yang begitu baik terhadap masa depan dan perubahan yang di cita-citakan oleh seluruh umat,
”seluruh rakyat mahu melihat satu perubahan yang begitu ketara dan pengalaman yang telah dirasai dan dinikmati oleh rakyat sebelum ini memberikan satu keyakinan, kita mampu untuk merubah kepada keadaan yang lebih baik dari keadaan masakini,”ujarnya.
Ijtimak Kepimpinan Terengganu; UCAPTAMA PRESIDEN PAS
Minal ‘aiddina wal faaizin, kullu ‘aamin wa antum bikhair. Tidak lupa juga kepada saudara-saudara kita yang sedang berjihad di Palestin, Iraq, Afghanistan, Filiphina, Selatan Thailand dan juga saudara-saudara kita yang sedang menghadapi ujian di Padang, Sumatera Barat dan lain-lain
Hari Raya adalah hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa dan bagi mereka yang berjihad. Walaupun ribut dan badai melanda bahtera perjuangan, mereka tetap dengan janji dan tidak sekali-kali menukarkannya kepada yang lain. Hal ini telah dikisahkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran;
“Dan apabila orang-orang yang beriman melihat bala tentera Ahzab, mereka menyatakan inilah janji Allah dan RasulNya, benarlah janji Allah dan Rasulnya. Tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan penyerahan diri kepada Allah”
Namun, kita tetap bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mengurniakan kepada kita nikmat yang termahal, nikmat yang diberikan hanya kepada orang-orang yang dikasihiNya iaitu nikmat Iman dan Islam. Bahkan bertambah-tambah syukur kita, apabila dipilih oleh Allah menjadi pekerja dan pejuang Islam berhimpun pada hari ini membincangkan tajuk,
“Berubah Untuk Kemenangan Islam”.
2.0 ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN
2.1 Islam Agama Fitrah
Islam, agama seluruh para anbiya’ dan mursalin alaihimussalaa tu wassalam semenjak nabi Adam sehingga nabi kita Muhammad SAW adalah ajaran yang sempurna. Ia bukan ciptaan manusia dan juga bukan ciptaan Nabi kita Muhammad SAW sebagaimana yang diistilahkan oleh orientalis Barat sebagai Muhammadanism (agama Muhammad) tetapi ianya adalah daripada Allah Yang Maha Esa dan Maha Agung.
Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW ketika dunia berada dalam kesesatan jahiliyyah (kerosakan aqidah, akhlaq, ekonomi, politik). Penduduk Mekah yang mempunyai Baitullah (Kaabah), telah mensia-siakan ajaran yang di bawa oleh Nabi Ibrahim A.S. Rome, tempat berkembangnya ajaran Kristian, telah menjadi kuasa politik yang memperalatkan Kristian untuk kepentingan segelintir manusia.
Parsi, negeri yang maju dari segi aspek kebendaan tetapi penduduknya menyembah api di samping berpegang dengan falsafah Zoroaster. China, penduduknya beragama Budha, Lotze dan Confutze yang mengabdikan diri sesama makhluk. India, negeri yang dibanjiri oleh dewa-dewi yang disembah oleh penganut Hindu. Tidak kurang juga apa yang dilakukan oleh penduduk Asia Tengah dan Timur Jauh yang syirik dan terkapai-kapai dalam kegelapan.
Islam di bawah pimpinan Muhammad SAW, Nabi terakhir memimpin manusia secara fitrah. Lihatlah bagaimana hebatnya wahyu pertama yang diturunkan dalam surah Al-Alaq, ayat 1-5:
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah,dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
Islam mengajak manusia mengenal penciptanya, agar mereka mengenal tujuan hidup dan tempat mereka akan kembali di penghujung hayat mereka.
2.2 Islam Merubah Wajah Dunia
Sirah menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar berlegar di dalam masjid sahaja. Ianya di sampaikan disegenap penjuru dunia. Setelah berjaya melahirkan peribadi Muslim, keluarga Muslim, masyarakat dan negara Islam di al-Madinah al-Munawwarah. Rasulullah mengembangkan Islam dengan menghantar surat kepada pemimpin-pemimpin yang berada di sekeliling Madinah selepas mengadakan perjanjian Hudaibiyah.
Surat-surat dihantar kepada Najasyi (Raja) Habsyah, al-Muqauqis Raja Mesir, Kisra Raja Parsi, Heraqla (Hercules) Raja Rome, pemimpin Bahrain Al-Munzir bin Sawi, pemerintah Yamamah Hauzah bin ‘Ali, pemerintah Damsyik al-Harith bin Abi Syamar dan juga Raja Oman. Kepada Hauzah bin Ali pemerintah Yamamah Rasulullah SAW menulis surat dengan susunan ayat-ayat berikut :-
"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Rasulullah SAW kepada Hauzah bin Ali, selamat sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Ketahuilah bahawa sesungguhnya agamaku akan mencapai kemenangan sehingga kepenghabisan sampainya kuku unta dan kuda. Maka dengan Islamlah nescaya kamu selamat, dan aku jadikan (pertanggungjawabkan) untuk mu apa yang telah ada di bawah tangan (kekuasaan) mu.”
2.3 Sistem Ciptaan Manusia Pasti Tumbang
Manusia mencipta sistem-sistem bagi mengurus kehidupan mereka. Sistem ini menemui kegagalan kerana ianya menolak aqidah, syariat dan akhlak yang mulia. Ianya tidak mempunyai piawaian yang mutlak tetapi bersifat anjal mengikut ketentuan masyarakat. Marilah kita melihat bagaimana salah satu sistem ciptaan manusia, iaitu sistem ekonomi. Sistem ini sedang mengalami keruntuhan yang menakutkan kuasa-kuasa besar dunia.
Sistem ekonomi kapitalis (perusahan bebas), sosialis (mengembalikan kuasa ekonomi dari Borjuis (kapitalis) kepada golongan Proliter (petani dan buruh), komunis (mengembalikan kuasa ekonomi kepada proliter secara demokrasi dan sederhana) tidak dapat menandingi sistem ekonomi Islam yang dikenali sebagai muamalat kerana ianya berdasarkan wahyu Ilahi bermatlamat mencari keredhaan Allah, meletakan harta hak mutlak Allah dan aktiviti perekonomian adalah ibadat.
Cerdik pandai dalam pelbagai bidang sedang menjenguk kepada kehebatan syariat Islam setelah teori-teori ciptaan barat sudah tidak dapat bertahan lagi. Islam membaiki kefasadan ini sebagaimana yang diperakui sendiri oleh Saidina Umar yang sempat hidup di era jahiliyah dalam ucapannya yang terkenal :-
“ Kami adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari selain daripada Islam untuk mendapatkan kemuliaan, nescaya kita mendapat kehinaan”
Abad ke-21 menyaksikan bagaimana kekuatan peradaban manusia dicabar oleh zaman. Kemusnahan blok Komunis dari segi geopolitik, ekonomi dan budaya menjadi bukti bahawa ideologi yang tidak bertunjang kepada Islam akan berakhir dengan kegagalan. Blok kapitalis juga tidak dapat diteladani kerana ianya tidak berteraskan nilai-nilai positif. Kehebatan Amerika dan Eropah juga makin meluntur dan tidak dapat lagi dibuat panduan.
Dalam keadaan meraba-raba ini, kita mesti memberi keyakinan kepada dunia bahawa ubat yang paling mujarab untuk membaiki penyakit jahiliyah abad 21 ini hanya kembali kepada Islam. Firman Allah:
“Allah menjadi wali kepada orang-orang beriman dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan dan kekufuran, syak serta ragu-ragu kepada cahaya kebenaran yang jelas dan menerangkan dengan mudah dan senang. Sedangkan orang-orang kafir yang menjadi wali atau pelindung mereka adalah syaitan yang menghiasi mereka dengan kejahilan dan kesesatan. Mereka mengeluarkan orang-orang kafir dari jalan kebenaran kepada kekufuran dan pendustaan. Mereka itulah penghuni neraka dan mereka kekal di dalamnya”.
3.0 MENILAI PERMASALAHAN
Perkara pertama yang mesti dilakukan dalam melaksanakan agenda perubahan ialah memahami permasalahan. Terdapat faktor luaran dan faktor dalaman yang menyebabkan adanya masalah dan halangan kepada usaha PAS untuk melaksanakan perubahan. Justeru faktor-faktor ini patut dianalisa agar kita dapat merumuskan cara-cara penyelesaian yang terbaik dalam usaha melakukan perubahan untuk kemenangan Islam.
3.1 Permasalahan yang disebabkan oleh Faktor Luaran.
Musuh-musuh Islam yang dipimpin oleh Amerika dan Yahudi bersama dengan North Atlantic Trity Organization (NATO) terus menerus menunjukkan permusuhannya ke atas umat Islam dengan melabelkan umat Islam sebagai pengganas. Mereka berusaha menyemai perasaan benci masyarakat dunia kepada Islam dengan harapan Islam - yang semakin berkembang dengan pesat termasuklah dalam negara mereka sendiri - dapat disekat dan dihancurkan.
Dasar negara kita yang sekular dengan mengasingkan antara agama dengan kehidupan dunia terutamanya mengenai penyiaran dan hiburan merupakan punca kepada kebejatan sosial dan jenayah yang makin membarah pada hari ini. UMNO pula sebagai parti yang menganut faham liberal tidak berhenti daripada melebarkan kejahilan dan salah faham terhadap Islam dalam masyarakat.
Mereka sebagai golongan yang memerintah tidak berusaha memberi kefahaman kepada masyarakat tentang Islam dan syariatnya bahkan mereka hanya memejamkan mata walaupun berlakunya kecelaruan dalam pelaksanaan undang-undang Islam yang diwartakan sendiri oleh mereka sebagaimana dalam kes Kartika Sari Dewi Shukarno di Pahang.
Demokrasi yang dilaksanakan kini penuh dengan kepincangan dan ketidakadilan. Ciri-ciri demokrasi yang sebenar sudah tiada. Maklumat melalui media yang sepatutnya adil kepada semua pihak hanya menyiarkan maklumat untuk sebelah pihak sahaja. Jentera kerajaan digunakan sewenang-wenangnya seolah-olah jentera tersebut bukan lagi milik kerajaan tetapi milik parti yang memerintah. Perhimpunan aman yang sepatutnya menjadi hak dan kebebasan yang dijamin dalam perlembagaan disekat dengan memperalatkan pasukan keselamatan. Bahkan boleh kita katakan, aspek pelaksaan demokrasi oleh negara-negara bukan Islam yang memusuhi Islam lebih baik berbanding dengan negara kita yang diperintah oleh orang Islam sendiri.
3.2 Permasalahan yang disebabkan oleh Faktor Dalaman.
Kita telah menyaksikan perjalanan abad-abad silam selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Semakin jauh kehidupan dengan Baginda semakin tercabarlah pula kehidupan umatnya. 14 abad telah berlalu. Gerakan dan parti Islam seperti PAS sewajibnya menilai diri untuk menentukan keabsahannya sebagai sebuah gerakan Islam yang berkesan, melalui kelayakan dan kemampuan untuk menangani gerakan dan politik semasa. Sebagai sebuah gerakan Islam, kita perlu bertanya ;
Pertama : Adakah daya jihad dan ketekunan ahli PAS dalam perjuangan berdaya saing dan berorientasi?
Kedua : Adakah sumber manusia dan kewangannya pada tahap yang munasabah?
Ketiga : Adakah penguasaan ilmu, maklumat dan kemahiran mengatasi pihak lawannya?
Persoalan-persoalan di atas memerlukan renungan yang mendalam dan kecekalan hati untuk menjawabnya. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan sekalian merasa kekurangan di dalam perkara-perkara yang dibincangkan ini tetapi saya juga yakin bahawa tuan puan tidak merasa ragu sedikit pun dengan semangat dan daya juang yang ada untuk berdepan dengan mereka yang menentang kita terutamanya musuh tradisi politik kita dari kalangan UMNO dan BN.
4.0 MENITI PERUBAHAN
4.1 Memahami Fikrah Perubahan
Islam sebagai addin yang sempurna menawarkan kepada seluruh manusia jaminan keselamatan di dunia dan di akhirat melalui suatu proses perubahan hidup dari jahiliyyah kepada Islam. Proses ini bermula dengan keyakinan seseorang bahawa dia adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T untuk menjadi hambaNya dan khalifahNya. Iaitu suatu proses perubahan yang menggarap dan menjawab persoalan besar manusia yang berakal; dari mana datangnya, kenapa berada di persada dunia ini dan ke mana akhirnya.
Sebagai agama yang syumul, Islam merupakan suatu sistem yang lengkap merangkumi hubungan hamba dengan Allah dan hubungan dengan makhluk. Ia dianuti dan dihayati sebagai sebuah cara hidup yang merangkumi pelbagai bidang politik, ekonomi, kemasyarakatan, ilmu pengetahuan, pemikiran (falsafah), dan kesenian yang berpaksikan kepada aqidah tauhid. Adalah suatu tugas yang besar untuk menjayakan perubahan menyeluruh seperti ini. Namun, Rasulullah S.A.W telah diutuskan sebagai pelengkap dan penyudah kepada sekalian para nabi dan Rasul dengan membawa bimbingan ilahi, dengan wahyu al-Quran dan pimpinannya yang dipimpin terus oleh Allah SWT telah berjaya mengubah masyarakat jahiliyyah Mekah dan Madinah serta sekitarnya meninggalkan sistem-sistem yang gasar seterusnya menggantikannya dengan sistem Islam.
Hari ini kita bercakap untuk berubah bagi kemenangan Islam. Kerana Islam mesti memimpin. Allah SWT telah memberikan panduannya yang nyata melalui ayat 11 surah al-Ra’d:“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum sehinggalah kaum itu mengubah nasibnya sendiri”
Kebanyakkan ulama yang mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT tidak akan mendatangkan azab dan bala bencana melainkan manusia itu sendiri yang berubah daripada keimanan dan ketaatan kepada kekufuran dan kemaksiatan.
Al Ka’bi Rahimahullah berkata: ‘Sesungguhnya kesemua ayat menunjukkan bahawa Allah SWT tidak memulakan sesuatu azab dan bala’ bencana. Beliau mengemukakan beberapa ayat. Di antaranya ialah ayat di atas.
Qatadah ibnu Dua’mah, seorang tabi’in besar, salah seorang anak murid kepada Abdullah Ibnu Abbas berkata ‘Selepas membaca ayat tersebut: Sesungguhnya datangnya perubahan daripada manusia dan permudahan daripada Allah, maka janganlah kamu mengubah nikmat-nikmat Allah pada kamu’.
Ini bermakna untuk mendapatkan kemenangan, pejuang Islam mestilah terlebih dahulu berubah daripada negatif kepada positif, daripada maksiat kepada taat dan daripada perpecahan kepada perpaduan. Kekalahan yang menimpa jemaah Islam bukan semata-mata kerana kejahatan musuh. Akan tetapi juga daripada kelemahan dalam diri jemaah sendiri.
4.1.1 PAS mesti menjadi sebuah parti politik dan gerakan Islam yang disegani
Perkembangan yang berlaku pada hari ini sangat menuntut kepada parti politik dan gerakan Islam yang disegani dalam negara kita. Keruntuhan sistem sekular yang mengasingkan urusan dunia dengan agama memerlukan Islam sebagai pilihan. Sebagai wadah yang membawa Islam, PAS seharusnya disegani dan dihormati agar ianya mudah untuk diterima oleh semua pihak termasuk golongan bukan Islam.
Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO kini semakin hampir kepada zaman kejatuhannya sebagaimana yang berlaku kepada parti-parti sezaman dengannya contohnya Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun, Parti Golkar di Indonesia dan parti-parti lain yang telah mengalami penyakit tua sebagaimana UMNO dan BN di Malaysia. Golongan yang jatuh ini akan digantikan oleh parti yang mendapat sokongan rakyat. Oleh itu, PAS mestilah mempunyai budaya kerja untuk menjadi kerajaan yang ditunggu (government in waiting).
4.1.2 Jaminan hidup aman untuk generasi akan datang
Keruntuhan moral dan akhlak pada hari ini telah membawa kepada peningkatan gejala sosial dan jenayah yang akhirnya menganggu gugat keamanan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Inilah dia kesan buruk yang diakibatkan oleh sistem pemerintahan yang tidak mengambil kira pelaksanaan syariat serta persoalan dosa dan pahala. Sekiranya perubahan yang kita inginkan itu berlaku iaitu dengan menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah, sudah pasti kehidupan yang aman dan sejahtera akan dinikmati oleh generasi yang akan datang.
4.2 Menguruskan perubahan
Dengan menyedari hakikat kekurangan dan kelemahan kita walaupun tanpa menyenaraikannya, marilah kita berusaha menguruskan suatu perubahan ke arah mencapai cita-cita murni iaitu kemenangan Islam.
4.2.1 Setiap ahli mesti menggabungkan diri dan berintima’ dalam saf perjuangan. Dengan intima’ ini kita menjadi orang-orang yang berjihad dan bukannya mereka yang duduk tanpa berjuang bahkan menunggu sambil melihat sahaja perkembangan yang berlaku seperti fiman Allah dalam surah As-Saff ayat ke-4. Seluruh kekuatan intelek dan sumber harta benda bahkan masa dan kelapangannya digunakan untuk meningkatkan kualiti dan daya juang sebagai seorang muslim yang melaksanakan tanggungjawab fardhu ‘ain dan fardhu kifayah.
4.2.2 Keperluan PAS menguruskan agenda tarbiyyah dengan lebih mantap dan kesedaran sebenar ahli kepada kepentingan tarbiyyah harakiyyah dalam keimanan, keilmuan, kemasyarakatan dan kecergasan.
4.2.3 Peranan Organisasi PAS daripada atas hingga ke bawah dan peranan dewan-dewan (ulama’, Pemuda dan muslimat) serta sayap-sayap organisasi parti yang terdiri dari lajnah-lajnah semua peringkat hendaklah digaris pandukan pencapaiannya oleh Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Latihan-latihan kepada petugas dilakukan secara terus menerus sementara kepentingan perkaderan pelapis diberikan perhatian. PAS juga memerlukan skim pembangunan sukarelawan atau pekerja sukarela dalam pelbagai bidang, agar mereka dapat membantu parti secara terus menerus atau apabila diperlukan.
4.2.4 Keperluan berdakwah ke seluruh negara dalam konteksnya yang munasabah bagi PAS. Orang Melayu sendiri perlu disedarkan dan dibimbing dengan ajaran Islam yang syumul. Mereka adalah mad’u yang terdekat dengan PAS.
4.2.5 Meningkatkan pengorbanan ahli dalam semua sudut (intelektual, harta, masa dan tenaga)
4.2.6 Membina pandangan umum yang baik melalui pembinaan imej seterusnya mengembalikan mood rakyat untuk menyokong PAS melalui program-program kemasyarakatan.
4.2.7 Memperluaskan penggunaan media baru
4.2.8 Merancang penguasaan gerakan PAS dalam masyarakat dan memikirkan cara-cara yang baik bagi memungkinkan PAS memimpin masyarakat.
4.2.9 Menguruskan badan-badan dan institusi-institusi parti seperti Nisa’, Waja dan PASTI.
4.2.10 Muda-mudi adalah harapan jamaah dalam melahirkan Generasi Rabbani. Mereka hendaklah dilihat dengan penuh kasih sayang dan dibimbing dengan hikmah dan kebijaksanaan. Sesungguhnya kerajaan UMNO/BN tidak mampu lagi untuk memimpin mereka dan menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk mereka. Dasar-dasar penyiaran, kebudayaan dan sukan; filem-filem yang ditayangkan, majalah-majalah dan lebih-lebih lagi pusat-pusat hiburan menjadi alat perniagaan yang penyakitnya membarah ke dalam masyarakat. Jenayah arak, dadah, persundalan, pergaulan bebas tanpa batasan agama dan budaya hidup berpeleseran adalah wajah muda-mudi hari ini. PAS mesti bertindak segera merubah suasana menyelamatkan generasi muda agar menjadi pewaris ummah dan tanah air pada masa hadapan.
4.2.11 Kewujudan kepimpinan pemuda PAS di peringkat negeri hingga cawangan adalah bagi menjamin kesinambungan perjuangan ini dan mengembangkan pengaruh Pas kepada orang-orang muda daripada pelbagai latar belakang budaya. Kepimpinan pemuda mestilah berusaha melahirkan pemuda berilmu, beriman, berketerampilan dan kuat semangat. Meramaikan naqib muda bagi mengendalikan usrah remaja terutama dari kalangan anak-anak ahli Pas perlulah diagendakan supaya kewujudan keluarga muslim terbina dengan terancang. Aktiviti hiburan, sosial dan sukan yang menjadi jambatan penghubung dengan warga muda perlu diurus dengan bijaksana tanpa melangkau batasan syariah.
4.3 Natijah Perubahan
Alhamdulillah, hasil daripada polisi memasyarakatkan PAS, Membangun Bersama Islam dan PAS untuk semua, kita telah berjaya memerintah pada tahun 1999 – 2004 dan seterusnya mengembangkan pengaruh PAS dalam pilihan raya 2004 dan 2008.
Mari kita mengimbas sejenak hasil daripada perubahan yang berlaku untuk kita menilai kepentingan perjuangan kita bagi memenangkan Islam dan menjadikannya berkuasa ke atas negeri Terengganu Darul Iman.
4.3.1 Hasil daripada pemerintahan PAS / BA. Diantaranya ialah:
a) Perubahan ke arah Pelaksanaan Syariat lslam.
Kerajaan PAS / BA telah membuat perubahan ke arah pelaksanaan Syariat Islam kerana PAS yakin asas penting pegangan sesebuah pemerintahan ialah melaksanakan syariat Allah. Bagi merealisasikan hasrat tersebut Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dipinda dan tujuh enakmen telah diluluskan. Pindaan perlembagaan negeri dibuat dengan meletakkan AI-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai sumber undang-undang dan rujukan tertinggi. Sementara enakmen yang diluluskan ialah enakmen, hisbah, enakmen pentadbiran hal-ehwal agama lslam (Terengganu) 1422H/ 2001 M), enakmen mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, enakmen kesalahan jenayah syariah(Takzir ) ( Terengganu) 2001 dan enakman tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001. Enakman kesalahan jenayah Syariah ( Hudud dan Qisas ) Terengganu 1423H/ 2003 M).
b) Perubahan dan Pembangunan dalam Pentadbiran Kerajaan
Pegawai-pegawai kanan kerajaan dibawa bersama duduk semeja dengan Menteri Besar dan EXCO kerajaan bagi merangka dasar dan polisi kerajaan. Hal seperti ini tidak pernah berlaku sebelumnya. Begitu juga dengan dasar kewangan, amalan riba telah ditinggalkan. Pegawai dan kakitangan kerajaan diajak bersama-sama menjalankan tugas sebagai suatu ibadat untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.
c) Pembangunan ekonomi, Kebajikan dan pembahagian kekayaan adalah untuk rakyat.
Dasar-dasar pembangunan ekonomi, perindustrian, pertanian, sosial, teknologi maklumat dan komunikasi, pelancongan, pembangunan belia dan lain-lain telah dirangka. Walaupun tanpa royalti, projek-projek pembangunan berasaskan kepada sumber-sumber tempatan seperti sumber perkayuan, sumber mineral, pembangunan tanah untuk pertanian bahkan pembangunan rumah mampu milik dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya. Kerajaan PAS juga melaksanakan kebajikan kepada rakyat dengan menganugerahkan tanah, menambah bantuan kebajikan, menambah bantuan imam bilal, cukai rumah kediaman dan tol juga telah dihapuskan dan lain-lain.
d) Pembangunan pendidikan dan dakwah Islamiyyah
Kita telah berjaya mengemukakan pelan pembangunan dan program pendidikan yang komprehensif daripada peringkat rendah hinggalah ke peringkat tinggi. Kita berbangga dengan program Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) sehingga kepada kerjasama KUSZA dengan universiti luar. Begitu juga dengan program tarbiyyah, dakwah, amar ma’ruf dan nahi mungkar serta Hisbah
4.3.2 Sebaliknya, natijah daripada kemenangan UMNO/BN dalam pilihanraya umum ke-11 (2004) telah mendatangkan banyak kerosakan kepada negeri dan rakyat. Kenyataan ini boleh dilihat contohnya daripada aspek-aspek berikut;
a) Pentadbiran negeri menjadi terumbang-ambing apabila kakitangan kerajaan diintip dengan CCTV dan ditekan dengan pelbagai peraturan. Di peringkat kampung, amalan pilih kasih dan mengutamakan suku-sakat menjadi amalan biasa JKKK.
b) Keadaan akhlak generasi muda dan pelajar amat membimbangkan. Ramai pelajar yang terlibat dengan penagihan dadah (pil kuda) dan salah laku seks serta gejala sosial. Kejadian jenayah meningkat dan keruntuhan budi pekerti remaja, pemuda dan pemudi menjadi-jadi. Kegiatan ’menogok’ arak dan judi, telah mula menjadi ’nadi’ kehidupan kota Kuala Terengganu dan bandar-bandar lain
c) Pengurusan Ekonomi dan pembangunan negeri dimonopoli oleh kroni. Pengangguran meningkat, kemiskinan rakyat Terengganu kembali ke tangga utama, rakyat marhaen yang dibela, dianugerah tanah oleh kerajaan PAS, dirampas dan dihina.
d) Terengganu kehilangan pusat pendidikan agama dengan penutupan KUSZA. Anak-anak pintar dari jurusan agama yang ingin melanjutkan pelajaran disekat bantuan dan biasiswa. Sedangkan anak-anak Exco mendapat bantuan biasiswa percuma. Dengan menyedari hakikat, betapa kuasa pemerintahan memainkan peranan untuk menegakkan yang maaruf dan meninggalkan yang mungkar, maka usaha menguruskan perubahan dengan serius dan sistematik mestilah diambil sebagai kewajipan yang sebenar-benarnya di semua peringkat. InsyaAllah, setiap kita yang hadir di dalam perhimpunan ini mampu menjawab bagaimana melaksanakannya.
Marilah kita bercita-cita melakukan perubahan untuk kemenangan Islam agar suasana seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W kembali ke Negeri Terengganu Darul Iman:
“Demi Allah, pasti Allah akan menyempurnakan agama ini sehingga seorang yang berjalan dari Sana’ ke Hadharal Maut, tidak merasa takut melainkan kepada Allah dan hanya bimbang kepada serigala yang akan menangkap kambingnya.”
5.0 PENUTUP
Adalah menjadi tanggungjawab kita disemua peringkat meletakan diri kita berdasarkan kelebihan dan kepakaran masing-masing yang dikurniakan oleh Allah untuk sama-sama merapatkan saf perjuangan serta menjana kekuatan parti dan menempatkannya di persada dunia: bersaing dalam arena politik bagi menguasai Malaysia Negara tercinta. Sesungguhnya kita semua adalah mujahidin Ummah. Kita mesti bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita murni ini. Kenapa tidak?... Allah telah menjamin bahawa kemenangan ini bersama-sama kita seperti yang termaktub di dalam firmannya:
“ Adalah menjadi hak Kami membantu orang-orang yang beriman”
Justeru itu, berusahalah melaksanakan segala perintahNya pada setiap masa, berjuang untuk melaksanakan perintahNya yang belum dilaksanakan lagi dan meninggalkan segala laranganNya. Dia memerintahkan kita untuk mencari jalan bagi mencapai kemenangan Islam. Kita memilih perjuangan secara damai (pilihan raya) sebagai wasilah untuk mendapatkan kekuasaan bagi melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Kita memohon kepadaNya agar terus istiqamah berjuang menegakkan agama ini, walau apapun mehnah dan fitnah kerana jaminannya:
“Sekiranya engkau menolong Agama Allah, Dia akan menolong kamu dan menetapkan kaki-kaki kamu”
InsyaAllah kita akan terus memacu kehadapan dengan penuh izzah dan taqwa kepada Allah S.W.T. dan mendapat keredhaan Allah serta syurgaNya. Samada kita mencapai kemenangan, atau kita syahid di jalannya.
Akhirnya dengan lafaz saya rasmikan ijtima Kepimpinan Negeri Terengganu kali ke 13 dan saya doakan ijtima’ ini mendapat keberkatan sepanjang perjalanannya.
Khamis, 15 Oktober 2009
Petisyen PRK Bagan Pinang,penyelewengan akan didedah
Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramahnya di Kampung Paya Jauh, dekat sini, semalam telah membayangkan keperluan tindakan itu diambil bagi mendedahkan kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku di Bagan Pinang.
"Memang kita menerima kekalahan di pilihan raya kecil Bagan Pinang. Menang atau kalah pilihan raya adalah perkara biasa. Kita tak ada masalah. Tetapi petisyen pilihan raya kena buat kerana kita dapati terlalu banyak penyelewengan dan tindakan menyalahi undang-undang yang berlaku,"katanya.
Teruskan Perjuangan Jentera PAS Perak
Ingatlah kita akan Firman Allah SWT:
Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segalasesuatu.( Ali Imran ayat 26)
• Semoga usaha mulia kita dalam memastikan Islam terus memimpin perubahan buat rakyat Malaysia mendapat keredhaan dan bantuan dari Allah SWT.