Khamis, 2 Julai 2009

Merdekakan ekonomi negara!

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS- Marang) berpandangan ekonomi negara ini perlu dimerdekakan dan tidak lagi bergantung kepada Dolar Amerika.

Beliau berkata demikian apabila sebelumnya menyarankan agar untuk menghapuskan sistem riba, pakar ekonomi khususnya disarankan mengkaji lebih mendalam alternatif yang lebih baik dan berakhlak dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam dan tidak hanya sekadar bergantung kepada konsep Al-Bai Bithaman Ajil.

Sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009 di Dewan rakyat semalam katanya, antara muamalat Islam yang perlu dilaksanakan ialah Al-Qardhul Hassan iaitu pinjaman tanpa faedah. Jelasnya sistem Al-Qardhul Hassan menggalakkan produktiviti yang mana mempunyai barakah untuk menggalakkan rakyat bekerja dengan amanah dan ikhlas.

Dalam ucapannya Abdul Hadi turut menekankan, muamalat Islam juga perlu diperluaskan di peringkat antarabangsa. Jelasnya, sistem perbankan Islam kini telah mendapat perhatian masyarakat di beberapa negara Barat seperti England dan Perancis yang telah melihat kegagalan sistem liberal dan kapitalis yang mana mereka melihat amalan perbankan Islam tidak banyak terjejas dengan krisis ekonomi yang berlaku.

"Kita tahu banyak negara-negara Islam yang kaya membuat pelaburan di negara Barat. 99 peratus mereka membuat pelaburan di sana. Sedangkan di kalangan kita sendiri dalam keadaan yang merempat dan menyalahguna kekayaan. "Dalam pertukaran wang asing, kenapa kita bergantung kepada dolar Amerika? Kita seharusnya memerdekakan ekonomi kita,"katanya.

Sehubungan itu beliau turut menyarankan agar dinar emas digunakan bagi menggantikan dolar sehingga peringkat antarabangsa khususnya dalam menjalin kerjasama dengan negara-negara Islam bagi meningkatkan ekonomi negara.

Mesti tegas, jika libatkan dasar Islam

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Para pemimpin atau pendakwah Islam mestilah tegas dalam menyampaikan seruan agama Allah dalam apa jua perundingan dan perbincangan dengan pelbagai pihak khususnya melibatkan dasar-dasar dan ketentuan hukum agama.

Sungguhpun pendekatan dakwah mempunyai pelbagai kaedah dan bentuk penyampaiannya seperti berlembut dan berhemah namun jika ianya melibatkan dasar dan hukum Islam, ianya mesti diterangkan secara jelas dan tegas. Demikian kata penceramah dalam kuliah bulanan pejabat Harakah, yang disampaikan oleh Ustaz Amran Talib kepada warga kerja media itu yang hadir tengah hari tadi.

"Sejarah telah menunjukkan, bagaimana ada perundingan dan perbincangan dibuat oleh golongan Bani Saqif daripada Taif dengan Nabi Muhammad S.A.W yang menuntut pelbagai syarat sebelum memeluk agama Islam.

"Antarannya mereka mahu meminum arak, berzina, makan riba dan menyimpan berhala disayangi walaupun setelah memeluk Islam namun secara terang, tegas dan jelas Nabi Muhammad tidak membenarkan kerana ianya melanggar asas dan hukum agama yang diperintah oleh Allah SWT," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan.

Akhirnya, walaupun Nabi menolak syarart-syarat mereka, namun Bani Saqif yang terkenal sebagai golongan bijak pandai itu mengambil keputusan untuk bernaung di bawah pemerintah Islam. "Dalam dakwah, ada masa kita berlembut dan ada masanya kita mesti tegas jika libatkan dasar. Justeru, tuan-tuan jangan bimbang, berdakwahlah nescaya Allah akan bantu dan memberi hidayah," katanya merujuk kisah seorang pendita yang berdialog dengan hanya seorang pengembala kambing berhubung dengan soal keimanan.

Lebih menarik, kisah yang berlaku selepas kerajaan khalifah Abbasiyah itu menyaksikan dialog di antara keduanya, hanya menggunakan bahasa isyarat dan akhirnya pendita itu memeluk Islam dan berjanji akan menyeru kaumnya juga untuk melakukan hal yang sama, kata Amran.

"Jika Allah berkehendak dan memberi bantuan, orang biasa seperti pengembala kambing pun boleh membuatkan seoarang pendita yang arif hal agama juga memeluk agama Islam. Maka berdoa-doalah bersungguh-sungguh dalam apa jua situasi yang berlaku, insya-allah Allah akan membantu kita," katanya dalam kuliah 45 minit itu.

Nik Aziz hantar surat pelawaan debat kepada Najib hari ini

KOTA BHARU, 2 Julai ? Biar pun Dato' Seri Najib Razak menolak pelawaan untuk berdebat dengan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun Menteri Besar Kelantan tetap menghantar surat kepada Perdana Menteri.

Surat tersebut dipos hari ini yang dialamatkan kepada Jabatan Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Mursyidul Am PAS itu menandatangani surat berkenaan sebaik sahaja selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri pagi tadi.

Surat dua muka surat itu antara lain memuatkan penjelasan terhadap kenyataannya sebelum ini yang menyamakan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan Umno kerana menolak Islam. Katanya, ia sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah iaitu penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata.

"Jauh dari segi maudhu' ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan. "Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Umno juga turut sesat," soalnya

Menurutnya seperti yang sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia. Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan. Begitu juga katanya debat antara calon-calon Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta antara regu Susilo Bambang Yudhono berganding Boediono, Megawati Soekarnoputri bersama Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla berpasangan Wiranto.

"Jika di Eropah dan negara negara demokrasi lain debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata, maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah?

"Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyangpun tidak diterima," katanya. Sabtu lalu Menteri Besar Kelantan itu mencadangkan diadakan debat dengan Perdana Menteri bagi membincangkan sejauh mana perjuangan Umno tidak menyimpang dari agama.

Bagaimanapun ramai pemimpin Umno termasuk dua mantan perdana menteri menasihatkan Najib tidak melayan pelawaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kemudian beberapa hari selepas itu Najib membuat kenyataan tidak menerima debat tersebut. Menteri Besar Kelantan menjelaskan demokrasi yang sekular tidak pedulikan masalah aqidah. Persoalannya ialah istilah agama dan bukannya isu perlembagaan atau undang-undang.

Isu debat timbul ekoran pemuda Umno membuat laporan polis terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyifatkan Umno lebih kurang sama dengan ajaran Ayah Pin kerana menolak agama dalam perjuangan.