Jumaat, 5 Mac 2010

JUBLI PERAAK SEMPENA 25 TAHUN PAS KAWASAN MARANG


RUSILA - Pas Kawasan Marang akan menganjurkan pelbagai aktiviti sempena sambutan Perayaan Jubli Perak Pas Kawasan Marang, 12 dan 13 Mac ini.

Ketua Penerangan Pas Kawasan Marang, Sidek Abu Bakar berkata, sempena perayaan itu juga, pameran perdagangan akan diadakan termasuk rawatan as-syifa.

Menurutnya, pada 12 Mac ini, Pertandingan Menjala Terbuka peringkat negeri diadakan di Rusila.

“Malamnya, kami mengadakan ceramah perdana diketuai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut serta, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali,” katanya.

Pada 13 Mac pula, Pertandingan Larian Jubli Perak bagi kategori kanak-kanak dan terbuka bermula dari jam 7.30 hingga 9 pagi.

Pada petangnya, pertandingan memasak, anyaman, mewarna, melukis poster, gubahan tuala, me-ngikat aiskrim, membungkus ketupat pulut, dan pelbagai lagi diadakan pada jam 2.30 petang sehingga jam 7 malam.

Sebelah malamnya pula, Malam Kesenian Islam akan bermula jam 9 sehingga jam 12 malam.

Antara artis yang membuat persembahan adalah Kumpulan Saujana dan penyajak Dinsman.

Sementara itu, Sidek berkata, Pertandingan Memancing 2010 Peringkat Kebangsaan akan diadakan 13 Mac ini di pesisir Pantai Rusila dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Yuran pendaftaran bagi setiap joran adalah RM30 dan RM50 bagi penyertaan dua joran. Kami menyediakan 300 kemeja T percuma kepada penyertaan terawal.

“Hadiah ditawarkan cukup lumayan iaitu motosikal Honda EX5 bernilai RM5,000 bagi tempat pertama, TV LCD 42 inci bagi tempat kedua, peti sejuk dua pintu bagi tempat ketiga dan hadiah barangan elektrik seperti kipas, seterika serta mesin pengisar bagi tempat keempat hingga ke-20,” katanya.

Menurutnya, pendaftaran bagi pertandingan memancing peringkat kebangsaan boleh dibuat dari 12 Mac, bermula jam 3 petang di Rusila. Sebarang keterangan lanjut, boleh menghubunginya menerusi talian 019-9201704.