Jumaat, 24 April 2009

KERJA - KERJA BODOH dalam PAS

Saya terbaca satu artikal baru dalam blog Ust Nik Abduh yang ditulis beliau sendiri. Ikuti ceritanya yang mengisahkan "Kerja-Kerja Bodoh Dalam PAS" Artikel yang cukup bernas ini. merungkai segala kecelaruan yang berserabut dalam kepala ahli pas sejak akhir - akhir ini.

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan! Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih? Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

Selesaikan Pergolakan Politik Segera, Kata Tengku Seri Paduka Raja

KUALA TERENGGANU – Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ismail berharap agar pergolakan politik yang berlaku di negeri Terengganu dapat diselesaikan dengan segera dan secara baik.Beliau yang merupakan enam orang bergelar Istana Terengganu menyeru supaya kerajaan khususnya para wakil rakyat menumpukan masa dan tenaga untuk menolong rakyat dari segi pembangunan.

Beliau turut menyatakan kesal dan malu dengan apa yang berlaku kepada parti pemerintah UMNO dan Barisan Nasional Terengganu. (Gambar - turut menyumbang.... wakil dari Kakitangan Sabasun Hyperruncit menyampaikan hasil kutipan mereka kepada Tengku Seri Paduka Raja (tengah) diringin oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hj Hussin Ismail (kanan) “Sebagai orang Terengganu saya rasa malu (dengan apa yang telah berlaku),”katanya selepas majlis penyerahan Sumbangan Derma Untuk Palestin di Terengganu Equestrian Resort, disini, semalam.
Sementara itu, beliau melahirkan rasa bangga dengan rakyat Terengganu yang telah memberikan sumbangan begitu banyak untuj tujuan murni membantu saudara-sauadara di Palestin

“Saya rasa bangga dengan kutipan yang begitu banyak dengan tujuan murni membantu saudara-saudara di Palestin,“saya juga juga bangga dan terima kasih kepada semua NGO yang begitu banyak memberikan sumbangan tenaga dan wang ringgit sehingga dapat mengumpulkan dana lebih dari RM300,000,”katanya dalam kepada pihak media selepas menutup Rayuan Gaza Palestin ‘Bantulah Mereka’ dianjurkan bersama oleh Yayasan Amal Malaysia dan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat).

Beliau yang juga Penasihat Mampat bagaimanapun masih merasa kesal dengan tindakan pihak Majlis Perbandaran Dungun (MPD) yang tidak memberi kebenaran menggunakan kemudahan Padang Astaka untuk tujuan amal Palestin. Pada 17 Februari lalu, beliau menyeru kepada pegawai-pegawai MPD yang membatalkan permit penggunaan padang tersebut supaya bertaubat kerana menghalang umat Islam membantu rakyat Palestin yang dizalimi.

Mengulas lanjut pergolakan politik Terengganu beliau berpendapat adalah tidak munasabah dan tidak sepatutnya Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) memboikot Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

“Sepatutnya mereka (ADUN BN) lebih tahu apa yang berlaku dan (mereka) mestilah dibuat pembetulan dalaman mereka supaya diperbaiki pergolakan poltik ini,”“Saya harapa Menteri Besar, Dato Ahmad Said supaya ketepikan apa jua masalah, panggil mereka duduk semeja untuk berbincang dan menyelesaikan masalah,”ujarnya.

Khamis, 23 April 2009

Krisis politik Terengganu menghala ke arah pembubaran Dun?

BESUT, 23 April (Hrkh) - Mungkinkah krisis politik yang melanda Terengganu sekarang akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ia dianggap sebagai langkah selamat bagi meredakan keadaan. Teori itu boleh menjadi kenyataan sekiranya Dato' Ahmad Said digugurkan sebagai pengerusi Perhubungan Umno Terengganu. Ahmad tentunya tidak akan mudah menyerah kalah.

Apa yang berlaku di negeri minyak tersebut hampir serupa dengan situasi di Perak apabila Menteri Besar cuba disingkirkan. Biar apa pun krisis politik dalaman Umno Terengganu mungkin tambah membesar esok.

Pengumuman siapa dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri akan menentukan pemenang di antara Ahmad atau Dato' Seri Idris Jusoh. Atau kedua-duanya terpinggir. Mungkin juga tokoh baru akan muncul dari kalangan 22 Adun Barisan Nasional (BN yang ada sekarang.

Sekiranya telahan itu menjadi kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok, Terengganu sudah pasti akan mendapat Menteri Besar yang baru tidak lama lagi. Kedudukan Ahmad sudah gonyang ekoran 10 Adun BN yang pro Idris memulaukan persidangan Dun baru-baru ini.

Dan keadaan tambah celaru apabila tiga rakan mereka dikatakan menerima ugutan bunuh melalui SMS yang hantar seorang individu. SMS tersebut dikatakan sebagai tindak balas memandangkan ada hasrat Adun terbabit membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad di persidangan Dun baru-baru ini.

Manakala Idris pula tidak disenangi pihak istana biar pun menang sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno pada perhimpunan Mac lalu. Anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasition Ismail berkata, Terengganu hampir pasti akan mendapat menteri besar baru selepas Mei ini sekiranya Ahmad tidak dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

"Mungkin muka baru dari kalangan Adun BN akan dilantik ke jawatan tersebut. "Adun yang akan dilantik nanti boleh jadi bukan lagi Ahmad dan Idris sebaliknya salah seorang daripada 22 Adun BN," katanya pada ceramah di Markaz PAS Dun Hulu Besut di Kampung Lubok Kawah, malam tadi.

Bagaimanapun katanya adakah Ahmad akan menyerah kalah begitu sahaja tanpa menggunakan kuasa membawa ke arah pembubaran Dun. Spekulasi pertukaran jawatan menteri besar bertiup kencang di Terengganu ekoran krisis perebutan kuasa di antara Idris dan Ahmad. Ahmad dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu memandangkan pihak istana tidak berkenan kepada Idris.

Saifuddin yang juga Pengarah Strategik KeADILan berkata, pemulauan 10 Adun BN pada persidangan Dun baru-baru ini menyebabkan lapan Adun PAS menguasai keadaan. "Selepas Tuan Guru Abdul Hadi berucap, Dr Syed Azman pula bangun diikuti Haji Wahid Endut, Ustaz Harun Taib dan lain-lain lagi Adun PAS," katanya.

Krisis kepemimpinan kerajaan Terengganu terus berlarutan apabila Adun pro Idris mendesak Ahmad meletak jawatan kerana mereka mendakwa memperolehi sokongan 18 Adun BN. Ahmad sebelum ini pernah mengugut akan memecat mana-mana Adun yang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya.