Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

Jumaat, 5 Mac 2010

JUBLI PERAAK SEMPENA 25 TAHUN PAS KAWASAN MARANG


RUSILA - Pas Kawasan Marang akan menganjurkan pelbagai aktiviti sempena sambutan Perayaan Jubli Perak Pas Kawasan Marang, 12 dan 13 Mac ini.

Ketua Penerangan Pas Kawasan Marang, Sidek Abu Bakar berkata, sempena perayaan itu juga, pameran perdagangan akan diadakan termasuk rawatan as-syifa.

Menurutnya, pada 12 Mac ini, Pertandingan Menjala Terbuka peringkat negeri diadakan di Rusila.

“Malamnya, kami mengadakan ceramah perdana diketuai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut serta, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali,” katanya.

Pada 13 Mac pula, Pertandingan Larian Jubli Perak bagi kategori kanak-kanak dan terbuka bermula dari jam 7.30 hingga 9 pagi.

Pada petangnya, pertandingan memasak, anyaman, mewarna, melukis poster, gubahan tuala, me-ngikat aiskrim, membungkus ketupat pulut, dan pelbagai lagi diadakan pada jam 2.30 petang sehingga jam 7 malam.

Sebelah malamnya pula, Malam Kesenian Islam akan bermula jam 9 sehingga jam 12 malam.

Antara artis yang membuat persembahan adalah Kumpulan Saujana dan penyajak Dinsman.

Sementara itu, Sidek berkata, Pertandingan Memancing 2010 Peringkat Kebangsaan akan diadakan 13 Mac ini di pesisir Pantai Rusila dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Yuran pendaftaran bagi setiap joran adalah RM30 dan RM50 bagi penyertaan dua joran. Kami menyediakan 300 kemeja T percuma kepada penyertaan terawal.

“Hadiah ditawarkan cukup lumayan iaitu motosikal Honda EX5 bernilai RM5,000 bagi tempat pertama, TV LCD 42 inci bagi tempat kedua, peti sejuk dua pintu bagi tempat ketiga dan hadiah barangan elektrik seperti kipas, seterika serta mesin pengisar bagi tempat keempat hingga ke-20,” katanya.

Menurutnya, pendaftaran bagi pertandingan memancing peringkat kebangsaan boleh dibuat dari 12 Mac, bermula jam 3 petang di Rusila. Sebarang keterangan lanjut, boleh menghubunginya menerusi talian 019-9201704.

Sabtu, 27 Februari 2010

Jangan sambut kelahiran Nabi sekadar cogan kata - TOK GURU PRESIDEN

MARANG, 26 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam agar tidak menyambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. sekadar dengan cogan kata atau lambang-lambang kemegahan.

Apa yang penting, katanya, mengambil kefahaman serta pengajaran dari kelahiran Nabi s.a.w. dengan menghayati ajarannya yang sebenar.

“Marilah kita mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan kerasulannya ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini bukan hanya sekadar mengagungkan cogan kata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajarannya yang sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Bahkan, katanya Allah SWT mewujudkan keadaan dunia yang benar-benar berhajat kepada petunjuk daripada Allah yang dibawa oleh seorang rasul yang paling hebat di kalangan rasul-rasul yang diutuskan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, cahaya Allah Taala (Islam) itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja termasuk kuasa besar dunia.

Menurutnya, meski pun umat Islam mengalami ‘hakisan’ serta kekurangan yang lemah hingga berlaku pasang surut tetapi agama Islam itu tetap akan terpelihara serta tidak boleh dihapuskan pada hari ini hingga ke hari kiamat.

Khamis, 29 Oktober 2009

PAS adakan seminar ganti muktamar khas

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.

Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Image Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.

Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.

_______________

KOMEN PEMBACA

_______________


1.
Sepatutnya tidak lagi timbul sebarang perbahasan berkaitan perkara tersebut. Musuh - musuh Islam sentiasa mencari jalan dan memperalatkan segolongan yang mengaku Islam tetapi tidak mahu melaksanakan hukum syara,. mereka ini hanya menyalak untuk menarik perhatian awam akibat daripada kehilangan sokongan yang ketara dikalangan rakyat semasa pilihanraya umum lalu. Tekanan jiwa yang dialami oleh golongan tersebut semakin ketara. Qunut Nazilah adalah senjata utama kepada pendukung gerakan islam. Insya Allah yang Haq pasti menang dan Kebathilan pasti akan menemui kehancuran. Takbir. -Yusoff Abdul._

sumber : harakahdaily

Wartawan penuh menunggu mesyuarat khas JK PAS Pusat

KUALA LUMPUR, 28 Okt: PAS mengadakan mesyuarat khas AJK PAS Pusatnya jam 8.45 malam dengan dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam ini.

Turut serta di sebelahnya adalah Mursyidul Am yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Aziz tiba ke pejabat agung PAS, Jalan Raja Laut jam 8.40 malam. Ia disambut oleh Abdul Hadi dan kedua-dua mereka berbual mesra sambil Abdul Hadi memerhatikan Nik Aziz makan malam.

Abdul Hadi sampai lebih awal dan telah selesai makan malam di situ.

Nik Aziz kelihatan makan nasi berlauk ayam goreng yang disediakan oleh pejabat Agung PAS untuk semua peserta mesyuarat itu.

Di pintu masuk Pejabat Agung, berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar menunggu ketibaan para pimpinan PAS itu.

Bagi meraikannya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah memutuskan untuk membenarkan kesemua mereka mengambil gambar pimpinan PAS itu sebelum mesyuarat bermula.

Image Maka berlari-larilah para jurugambar memanjat anak tangga bangunan PAS itu ke tingkat lima, tempat mesyuarat berlangsung, menggunakan tangga.

Ini kerana, hanya satu lif sahaja yang ada di bangunan itu dan mereka bimbang tidak sempat merakamkan detik bersejarah dalam PAS itu.

Image

(Gambar:Abdul Hadi menyambut ketibaan Nik Aziz di luar bilik mesyuarat)

Namun, para petugas PAS telah bersedia menghadapinya dan hanya membenarkan mereka masuk mengambil gambar apabila kesemua mereka sudah berada di tingkat 5 bangunan PAS itu.

"Waw ramainya," sungut para pemimpin PAS yang memenuhi Dewan Mesyuarat Utama Pejabat Agung PAS itu apabila jurugambar menyerbu masuk.

Pelbagai ragam mereka mengambil gambar para pimpinan PAS. Yang menjadi fokus adalah Andul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang duduk sebelah menyebelah dalam mesyuarat ini.

Mereka meminta kedua-duanya senyum, bersalam, memandang kamera dan sebagainya.

Semuanya dipatuhi dengan baik oleh kedua-duanya di samping timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Mesyuarat ini dijangka selesai menjelang jam 12 malam. Adalah dipercayai satu sidang akhbar akan dibuat selepas itu kerana wartawan penuh di hadapan bangunan PAS bagi menunggu keputusan mesyuarat khas ini.

sumber : harakahdaily

Khamis, 2 Julai 2009

Merdekakan ekonomi negara!

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS- Marang) berpandangan ekonomi negara ini perlu dimerdekakan dan tidak lagi bergantung kepada Dolar Amerika.

Beliau berkata demikian apabila sebelumnya menyarankan agar untuk menghapuskan sistem riba, pakar ekonomi khususnya disarankan mengkaji lebih mendalam alternatif yang lebih baik dan berakhlak dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam dan tidak hanya sekadar bergantung kepada konsep Al-Bai Bithaman Ajil.

Sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009 di Dewan rakyat semalam katanya, antara muamalat Islam yang perlu dilaksanakan ialah Al-Qardhul Hassan iaitu pinjaman tanpa faedah. Jelasnya sistem Al-Qardhul Hassan menggalakkan produktiviti yang mana mempunyai barakah untuk menggalakkan rakyat bekerja dengan amanah dan ikhlas.

Dalam ucapannya Abdul Hadi turut menekankan, muamalat Islam juga perlu diperluaskan di peringkat antarabangsa. Jelasnya, sistem perbankan Islam kini telah mendapat perhatian masyarakat di beberapa negara Barat seperti England dan Perancis yang telah melihat kegagalan sistem liberal dan kapitalis yang mana mereka melihat amalan perbankan Islam tidak banyak terjejas dengan krisis ekonomi yang berlaku.

"Kita tahu banyak negara-negara Islam yang kaya membuat pelaburan di negara Barat. 99 peratus mereka membuat pelaburan di sana. Sedangkan di kalangan kita sendiri dalam keadaan yang merempat dan menyalahguna kekayaan. "Dalam pertukaran wang asing, kenapa kita bergantung kepada dolar Amerika? Kita seharusnya memerdekakan ekonomi kita,"katanya.

Sehubungan itu beliau turut menyarankan agar dinar emas digunakan bagi menggantikan dolar sehingga peringkat antarabangsa khususnya dalam menjalin kerjasama dengan negara-negara Islam bagi meningkatkan ekonomi negara.

Mesti tegas, jika libatkan dasar Islam

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Para pemimpin atau pendakwah Islam mestilah tegas dalam menyampaikan seruan agama Allah dalam apa jua perundingan dan perbincangan dengan pelbagai pihak khususnya melibatkan dasar-dasar dan ketentuan hukum agama.

Sungguhpun pendekatan dakwah mempunyai pelbagai kaedah dan bentuk penyampaiannya seperti berlembut dan berhemah namun jika ianya melibatkan dasar dan hukum Islam, ianya mesti diterangkan secara jelas dan tegas. Demikian kata penceramah dalam kuliah bulanan pejabat Harakah, yang disampaikan oleh Ustaz Amran Talib kepada warga kerja media itu yang hadir tengah hari tadi.

"Sejarah telah menunjukkan, bagaimana ada perundingan dan perbincangan dibuat oleh golongan Bani Saqif daripada Taif dengan Nabi Muhammad S.A.W yang menuntut pelbagai syarat sebelum memeluk agama Islam.

"Antarannya mereka mahu meminum arak, berzina, makan riba dan menyimpan berhala disayangi walaupun setelah memeluk Islam namun secara terang, tegas dan jelas Nabi Muhammad tidak membenarkan kerana ianya melanggar asas dan hukum agama yang diperintah oleh Allah SWT," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan.

Akhirnya, walaupun Nabi menolak syarart-syarat mereka, namun Bani Saqif yang terkenal sebagai golongan bijak pandai itu mengambil keputusan untuk bernaung di bawah pemerintah Islam. "Dalam dakwah, ada masa kita berlembut dan ada masanya kita mesti tegas jika libatkan dasar. Justeru, tuan-tuan jangan bimbang, berdakwahlah nescaya Allah akan bantu dan memberi hidayah," katanya merujuk kisah seorang pendita yang berdialog dengan hanya seorang pengembala kambing berhubung dengan soal keimanan.

Lebih menarik, kisah yang berlaku selepas kerajaan khalifah Abbasiyah itu menyaksikan dialog di antara keduanya, hanya menggunakan bahasa isyarat dan akhirnya pendita itu memeluk Islam dan berjanji akan menyeru kaumnya juga untuk melakukan hal yang sama, kata Amran.

"Jika Allah berkehendak dan memberi bantuan, orang biasa seperti pengembala kambing pun boleh membuatkan seoarang pendita yang arif hal agama juga memeluk agama Islam. Maka berdoa-doalah bersungguh-sungguh dalam apa jua situasi yang berlaku, insya-allah Allah akan membantu kita," katanya dalam kuliah 45 minit itu.

Nik Aziz hantar surat pelawaan debat kepada Najib hari ini

KOTA BHARU, 2 Julai ? Biar pun Dato' Seri Najib Razak menolak pelawaan untuk berdebat dengan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun Menteri Besar Kelantan tetap menghantar surat kepada Perdana Menteri.

Surat tersebut dipos hari ini yang dialamatkan kepada Jabatan Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Mursyidul Am PAS itu menandatangani surat berkenaan sebaik sahaja selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri pagi tadi.

Surat dua muka surat itu antara lain memuatkan penjelasan terhadap kenyataannya sebelum ini yang menyamakan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan Umno kerana menolak Islam. Katanya, ia sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah iaitu penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata.

"Jauh dari segi maudhu' ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan. "Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Umno juga turut sesat," soalnya

Menurutnya seperti yang sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia. Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan. Begitu juga katanya debat antara calon-calon Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta antara regu Susilo Bambang Yudhono berganding Boediono, Megawati Soekarnoputri bersama Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla berpasangan Wiranto.

"Jika di Eropah dan negara negara demokrasi lain debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata, maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah?

"Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyangpun tidak diterima," katanya. Sabtu lalu Menteri Besar Kelantan itu mencadangkan diadakan debat dengan Perdana Menteri bagi membincangkan sejauh mana perjuangan Umno tidak menyimpang dari agama.

Bagaimanapun ramai pemimpin Umno termasuk dua mantan perdana menteri menasihatkan Najib tidak melayan pelawaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kemudian beberapa hari selepas itu Najib membuat kenyataan tidak menerima debat tersebut. Menteri Besar Kelantan menjelaskan demokrasi yang sekular tidak pedulikan masalah aqidah. Persoalannya ialah istilah agama dan bukannya isu perlembagaan atau undang-undang.

Isu debat timbul ekoran pemuda Umno membuat laporan polis terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyifatkan Umno lebih kurang sama dengan ajaran Ayah Pin kerana menolak agama dalam perjuangan.

Khamis, 4 Jun 2009

Gagasan Ukhuwah perlu dimantapkan di kalangan Ulamak

SHAH ALAM, 4 Jun - Dalam usaha untuk memantapkan kepimpinan Ulamak, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak terutamanya para Ulamak untuk meningkatkan kefahaman terhadap prinsip ukhuwah dalam berjemaah.Prinsip yang telah sedia diamalkan oleh kita terutamanya, para Ulamak dan pendokongnya perlu disebarluaskan.

Demikian ujar Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohd Daud Iraqi ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-48 di Muzium Shah Alam pagi ini. "Penekanan tentang Ukhuwah sangat penting bagi menyatukan wehdatul fikr di kalangan Ulama," katanya. Oleh yang demikian ujarnya, perdamaian dari pertelingkahan di kalangan mayarakat juga perlu dipertingkatkan.


Menurut pandangan Ust Daud, terdapat tiga isu utama yang dikemukakan oleh Allah s.w.t. "Ia bukan sahaja memberikan fokus tentang orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.Tetapi menekankan kepada bahagian kedua dari ayat itu yang menjadi tujuan utama ukhuwah iaitu hendaklah melakukan islah antara sesama mereka dan bahagian ketiga menyeru agar sentiasa bertaqwa kepaa Allah s.w.t.," ujarnya.

Beliau memetik pandangan Dr Wahbah Al-Zuhaily dalam tafsir Al-Munir menyebutkan bahawa terdapat beberapa perkara pokok yang dibincangkan dalam ayat ini. "Ayat ini mempunyai kaitan dengan sebelumnya iaitu ayat 9 Surah Al-Hujarat yang meminta umat Islam melakukan islah kepada dua kumpulan yang berperang atau bergaduh," jelasnya.

Sehubungan dengan perkara ini, Ketua Dewan Ulama menekankan agar ukhuwah yang terbina antara ahli bersifat teguh supaya unsur-unsur luaran terutamanya yang dilakukan oleh musuh kita dapat ditangkis bilamana ukhuwah ini mantap dengan berpegang kepada tali Allah taala.

Rata-rata yang menghadiri muktamar tahunan pada kali ini terdiri daripada pelbagai lapisan ulamak muda di kalangan Ulamak muda di kalangan pemuda-pemuda Islam dan para pemudi.

Belum terlambat terapkan Islam - Ketua Ulamak Pusat

SHAH ALAM, 4 Jun - Tempoh setahun yang dilalui sudah cukup memberikan kefahaman kepada PAS untuk terus bergerak dengan lebih perkasa, keyakinan yang lebih tinggi, kebijaksanaan yang lebih matang untuk meneruskan amanah yang diberikan, sesuai dengan janji dan manifesto pilihan raya yang dilafazkan semasa berkempen secara jamaie atas tiket PAS dan Pakatan Rakyat.


Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohd Daud Iraqi berkata walaupun terdapat antara ahli dan penyokong PAS menyatakan rasa tidak sabar mereka terhadap perlaksanaan dasar Islam dalam pemerintahan di negeri yang diterajui Pakatan Rakyat, ianya akan tetap dilaksanakan kerana masih belum terlambat.
"PAS Pusat telah membentuk Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada pelbagai pihak yang akan membantu PAS di peringkat negeri melaksanakan Islam dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan kesesuaian setempat tidak dapat dinafikan suasana antara negeri-negeri di Malaysia agak berbeza sesuai dengan ciri-ciri Islam yang murunah atau fleksibel,

" ujarnya dalam ucapan Dasar Ketua Dewan Ulamak pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-48 hari ini.Ujarnya lagi, kadang-kadang sesetengah daripada ahli dan aktivis PAS lupa yang PAS menjadi kerajaan dan bukan lagi pembangkang, walaupun begitu masih mempunyai bidang kuasa kita terhad, bukannya bebas.

"walau apapun alasan dan niat kita, kita masih belum terlambat untuk menyusun semula pentadbiran negeri di bawah kekuasaan kita dengan landasan yang lebih jelas, penyusunan secara lebih tertib dan mengikut awlawiyat,"sehingga para penyokong dan ahli kita tahu ke mana hendak dibawa kerajaan kita, bila akan tercapai cita-cita Islam yang kita bawa, mengapa perkara tertentu tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya," demikian ujarnya.

Sabtu, 9 Mei 2009

KESABARAN ADA BATASNYA - AMARAN PRESIDEN

KUALA NERUS - Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bahawa kesabaran PAS ada batasnya. Beliau berkata krisis yang berlaku di negeri Perak adalah langkah UMNO/BN yang salah sejak daripada awal lagi.

"Lalu hendak betul(kan) yang salah dengan tangkap orang, itu tidak betul. Apa yang berlaku ialah ‘mencabul' Perlembagaan dan ‘mencabul' demokrasi, "krisis politik yang berlaku di negeri Perak ternyata telah melanggar Undang-undang dan Perlembagaan,

"amalan demokrasi pula cuba dipermainkan dan ‘dicabuli' oleh pemimpin UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ‘gilakan' kuasa,"tegasnya ketika mengulas penangkapan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap Naib Presiden PAS Mohamad Sabu.Katanya BN sepatutnya belajar dari sejarah di zaman Tunku Abdul Rahman sewaktu Perikatan memerintah negara.

Sewaktu kerajaan Tunku hendak menjatuhkan kerajaan PAS di Terengganu, katanya, Tunku mengambil langkah melalui Dewan Undangan Negeri (DUN). Kali pertama cubaan Tunku tidak berjaya kerana menurutnya, PAS mempunyai majoriti mudah (simple majority) 11 kerusi iaitu tujuh parti Perikatan dan empat parti Negara.

"Parti Negara tidak menyokong Perikatan dan diambil langkah yang kedua sehinggalah berjaya ‘membeli' Speaker (Yang DiPertua DUN), membeli wakil-wakil rakyat parti Negara, beberapa orang wakil rakyat PAS melalui politik wang waktu itu,

"maka, berlakulah proses undi tidak percaya walau pun politik wang itu suatu tindakan yang salah tetapi proses undi tidak percaya berlaku mengikut Perlembagaan dan Undang-undang,"jelasnya pada sidang media selepas melancarkan Laman Web Buletin Pendidikan PAS Pusat dan Dana Masjid di Ma'ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman, di Kampung Tok Jiring, semalam. (gambar kanan)

Menyentuh isu berhubung siapa yang layak menerajui PAS, beliau menyifatkan ia adalah satu isu lama yang dimainkan oleh pihak media setiap kali menjelang muktamar PAS sejak tahun 50-an dan 60-an.

Katanya PAS tidak akan tergugat dengan isu tersebut kerana PAS sentiasa konsisten dalam pentadbiran parti dengan mengamalkan semangat syura. Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada anggota parti bagi memilih Presiden dan Timbalan Presiden kerana jawatan itu dilantik pada muktamar agung PAS.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahan jawatannya jika ada pertandingan merebut kedudukan itu, beliau berkata: "kita lihat keputusan mesyuarat agung tahunan." "Saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan atas perkara yang tidak diketahui lagi. Selepas keputusan itu diketahui, tahulah apa saya nak buat," katanya.

Jumaat, 24 April 2009

Selesaikan Pergolakan Politik Segera, Kata Tengku Seri Paduka Raja

KUALA TERENGGANU – Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ismail berharap agar pergolakan politik yang berlaku di negeri Terengganu dapat diselesaikan dengan segera dan secara baik.Beliau yang merupakan enam orang bergelar Istana Terengganu menyeru supaya kerajaan khususnya para wakil rakyat menumpukan masa dan tenaga untuk menolong rakyat dari segi pembangunan.

Beliau turut menyatakan kesal dan malu dengan apa yang berlaku kepada parti pemerintah UMNO dan Barisan Nasional Terengganu. (Gambar - turut menyumbang.... wakil dari Kakitangan Sabasun Hyperruncit menyampaikan hasil kutipan mereka kepada Tengku Seri Paduka Raja (tengah) diringin oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hj Hussin Ismail (kanan) “Sebagai orang Terengganu saya rasa malu (dengan apa yang telah berlaku),”katanya selepas majlis penyerahan Sumbangan Derma Untuk Palestin di Terengganu Equestrian Resort, disini, semalam.
Sementara itu, beliau melahirkan rasa bangga dengan rakyat Terengganu yang telah memberikan sumbangan begitu banyak untuj tujuan murni membantu saudara-sauadara di Palestin

“Saya rasa bangga dengan kutipan yang begitu banyak dengan tujuan murni membantu saudara-saudara di Palestin,“saya juga juga bangga dan terima kasih kepada semua NGO yang begitu banyak memberikan sumbangan tenaga dan wang ringgit sehingga dapat mengumpulkan dana lebih dari RM300,000,”katanya dalam kepada pihak media selepas menutup Rayuan Gaza Palestin ‘Bantulah Mereka’ dianjurkan bersama oleh Yayasan Amal Malaysia dan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat).

Beliau yang juga Penasihat Mampat bagaimanapun masih merasa kesal dengan tindakan pihak Majlis Perbandaran Dungun (MPD) yang tidak memberi kebenaran menggunakan kemudahan Padang Astaka untuk tujuan amal Palestin. Pada 17 Februari lalu, beliau menyeru kepada pegawai-pegawai MPD yang membatalkan permit penggunaan padang tersebut supaya bertaubat kerana menghalang umat Islam membantu rakyat Palestin yang dizalimi.

Mengulas lanjut pergolakan politik Terengganu beliau berpendapat adalah tidak munasabah dan tidak sepatutnya Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) memboikot Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu.

“Sepatutnya mereka (ADUN BN) lebih tahu apa yang berlaku dan (mereka) mestilah dibuat pembetulan dalaman mereka supaya diperbaiki pergolakan poltik ini,”“Saya harapa Menteri Besar, Dato Ahmad Said supaya ketepikan apa jua masalah, panggil mereka duduk semeja untuk berbincang dan menyelesaikan masalah,”ujarnya.

Khamis, 23 April 2009

Krisis politik Terengganu menghala ke arah pembubaran Dun?

BESUT, 23 April (Hrkh) - Mungkinkah krisis politik yang melanda Terengganu sekarang akan membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ia dianggap sebagai langkah selamat bagi meredakan keadaan. Teori itu boleh menjadi kenyataan sekiranya Dato' Ahmad Said digugurkan sebagai pengerusi Perhubungan Umno Terengganu. Ahmad tentunya tidak akan mudah menyerah kalah.

Apa yang berlaku di negeri minyak tersebut hampir serupa dengan situasi di Perak apabila Menteri Besar cuba disingkirkan. Biar apa pun krisis politik dalaman Umno Terengganu mungkin tambah membesar esok.

Pengumuman siapa dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri akan menentukan pemenang di antara Ahmad atau Dato' Seri Idris Jusoh. Atau kedua-duanya terpinggir. Mungkin juga tokoh baru akan muncul dari kalangan 22 Adun Barisan Nasional (BN yang ada sekarang.

Sekiranya telahan itu menjadi kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok, Terengganu sudah pasti akan mendapat Menteri Besar yang baru tidak lama lagi. Kedudukan Ahmad sudah gonyang ekoran 10 Adun BN yang pro Idris memulaukan persidangan Dun baru-baru ini.

Dan keadaan tambah celaru apabila tiga rakan mereka dikatakan menerima ugutan bunuh melalui SMS yang hantar seorang individu. SMS tersebut dikatakan sebagai tindak balas memandangkan ada hasrat Adun terbabit membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad di persidangan Dun baru-baru ini.

Manakala Idris pula tidak disenangi pihak istana biar pun menang sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno pada perhimpunan Mac lalu. Anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasition Ismail berkata, Terengganu hampir pasti akan mendapat menteri besar baru selepas Mei ini sekiranya Ahmad tidak dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

"Mungkin muka baru dari kalangan Adun BN akan dilantik ke jawatan tersebut. "Adun yang akan dilantik nanti boleh jadi bukan lagi Ahmad dan Idris sebaliknya salah seorang daripada 22 Adun BN," katanya pada ceramah di Markaz PAS Dun Hulu Besut di Kampung Lubok Kawah, malam tadi.

Bagaimanapun katanya adakah Ahmad akan menyerah kalah begitu sahaja tanpa menggunakan kuasa membawa ke arah pembubaran Dun. Spekulasi pertukaran jawatan menteri besar bertiup kencang di Terengganu ekoran krisis perebutan kuasa di antara Idris dan Ahmad. Ahmad dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu memandangkan pihak istana tidak berkenan kepada Idris.

Saifuddin yang juga Pengarah Strategik KeADILan berkata, pemulauan 10 Adun BN pada persidangan Dun baru-baru ini menyebabkan lapan Adun PAS menguasai keadaan. "Selepas Tuan Guru Abdul Hadi berucap, Dr Syed Azman pula bangun diikuti Haji Wahid Endut, Ustaz Harun Taib dan lain-lain lagi Adun PAS," katanya.

Krisis kepemimpinan kerajaan Terengganu terus berlarutan apabila Adun pro Idris mendesak Ahmad meletak jawatan kerana mereka mendakwa memperolehi sokongan 18 Adun BN. Ahmad sebelum ini pernah mengugut akan memecat mana-mana Adun yang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya.

Rabu, 11 Februari 2009

PAS kecam tindakan rampas Harakah dan Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Hrkh) - PAS mengecam tindakan merampas akhbar Harakah dan Suara Keadilan di seluruh negara khususnya melibatkan Perak, Kedah dan Selangor.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencabulan ke atas prinsip demokrasi. "Kita yakin tindakan itu diambil ekoran daripada laporan krisis yang berlaku di Perak.

"Tindakan tersebut telah menyekat kebebasan media dan menghina rakyat kerana hak mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat telah dinafikan," tegas beliau.

Mahfuz juga kesal kerana dalam masa yang sama media arus perdana terus menerus dibenarkan melaporkan berita-berita yang telah diputar-belitkan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat.

Media arus perdana kata beliau, mengambarkan Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka tetapi ketika krisis perlantikan Menteri Besar di Terengganu dan Perlis, pemimpin Umno yang menolak cadangan Sultan tidak digambarkan sedemikian.

"Bila ia melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat, media arus perdana akan memberi gambaran yang buruk sedangkan pemimpin Umno ada yang bertindak lebih teruk dari itu," jelas Mahfuz.
Beliau merujuk tindakan Tan Sri Annuar Musa yang menabalkan sultan Kelantan yang baru pada tahun 1993 kerana Sultan Kelantan yang sedia ada, Sultan Ismail Petra tidak sehaluan dengan pemimpin Umno Kelantan.

"Kalau nak dikirakan menderhaka tindakan Annuar Musa ini lebih derhaka berbanding yang Nizar," tegas beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak agar arahan segera dikeluarkan agar perbuatan merampas Harakah dan Suara Keadilan serta akhbar alternatif yang lain dihentikan

Isnin, 9 Februari 2009

Tindakan Karpal bersifat peribadi, Umno 'berselindung' atas nama istana

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Hrkh) - PAS berpendapat bahawa cadangan tindakan yang sedang diambil oleh Peguam Karpal Singh untuk menyaman Baginda Sultan Perak adalah tindakan peribadi beliau dan tidak pernah dibincangkan, serta tidak pernah juga dipersetujui oleh mana-mana pimpinan parti politik dalam Pakatan Rakyat.

Presiden PAS Dato? Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS sekali lagi ingin mempertegaskan pendirian bahawa parti itu senantiasa mendukung prinsip rukun negara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Katanya sudah tentu rakyat tidak lupa akan tindakan tanpa susila yang dimulai oleh kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional pada tahun 1993 semasa pindaan perlembagaan terhadap kuasa imuniti Raja-Raja dilakukan.

"PAS berpendapat bahawa untuk memastikan keadilan terpelihara, semua pihak dalam negara kita ini termasuklah Umno seharusnya menghormati ketiga-tiga intipati penting dalam mendepani suasana yang sedang berlaku di Perak," kata Ustaz Hadi.

"Oleh yang demikian, tindakan pihak tertentu dalam Umno yang cuba untuk mengheret dan berselindung di sebalik Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dalam tindakan mereka untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah amat dikesali," kata Ustaz Hadi dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Bubar Dun Perak, beri peluang rakyat memilih

Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah parti yang sah berdaftar dan senantiasa mendukung prinsip rukunegara termasuklah prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Kami sepenuhnya percaya bahawa kedudukan kesemua prinsip-prinsip rukunegara ini haruslah dihormati oleh seluruh warga di dalam negara kita ini untuk memastikan keharmonian dan keadilan yang menyeluruh terus terpelihara.
Oleh yang demikian, PAS berpendapat bahawa suasana kekalutan yang sedang berlaku di negeri Perak Darul Ridzuan pada masa kini boleh dielakkan dari menjadi lebih buruk sekiranya prinsip asas yang merujuk kepada undang-undang negeri dan perlembagaan persekutuan dijadikan rujukan.

PAS berpandangan bahawa Menteri Besar (MB) Perak pada masa ini, iaitu Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, hanyalah boleh diturunkan dari kedudukannya sebagai menteri besar menerusi undi tidak percaya yang dilakukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa ianya bersidang.

PAS yakin bahawa sekiranya permohonan MB untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri diterima, maka suasana yang tegang dan boleh menuju kepada satu krisis perlembagaan boleh dielakkan.

Pembubaran Dun akan membuka ruang kepada rakyat untuk membuat pilihan mereka menerusi satu pilihan raya yang menyeluruh di negeri Perak.

Saya juga ingin meminta kepada seluruh rakyat di negeri Perak khususnya dan seluruh ahli dan penyokong kerajaan Pakatan Rakyat di seluruh negara secara amnya supaya bertenang dan tidak terjebak dalam perangkap provokasi yang mungkin ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu.

Khamis, 5 Februari 2009

Nizar: Saya tidak perlu letak jawatan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata tiada sebab bagi beliau untuk meletakkan jawatan seperti yang disarankan oleh pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak.Katanya, beliau masih menjadi ketua kerajaan negeri sehinggalah Sultan Perak membubarkan dewan undangan negeri.

Ataupun, katanya, BN perlu mengemukakan undi tidak percaya terhadapnya untuk memaksa beliau meletakkan jawatan.Bercakap dalam satu sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh malam tadi, Mohd Nizar berkata saranan Najib yang juga timbalan perdana menteri itu, tidak mencerminkan apa yang terkandung dalam perlembagaan negeri Perak.

Menurut perlembagaan Perak, kata Mohd Nizar, Pakatan masih merupakan sebuah kerajaan yang sah kecuali dewan undangan negeri bersidang untuk meluluskan undi tidak percaya atau jika kerajaan Pakatan meletak jawatan.

Beliau mengingatkan bahawa proses menukar kerajaan "tidak sama seperti menukar 'arung kopi".Mohd Nizar juga membidas Najib kerana didakwanya cuba mengambil alih kuasa di Perak melalui cara yang tidak sah.

Berfungsi seperti biasa

Sebaliknya, kata beliau, Najib hanya mahu menakut-nakut rakyat dan melakukan sesuatu tanpa menghormati perlembagaan.Oleh itu, Mohd Nizar meminta Najib - yang bakal menjadi perdana menteri - supaya berlaku adil kepada rakyat Perak.

Menjawab soalan pemberita, Mohd Nizar berkata, kerajaan Pakatan akan terus berfungsi seperti biasa sehingga Sultan membuat keputusan berhubung permohonan pembubaran dewan undangan negeri.Sebelum ini,Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat ahli dewan undangan negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.Begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini. Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.Najib berkata, Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan perkara itu kepadanya semalam.
sumber : klik sini

Perhimpunan sokong MB Perak

Satu perhimpunan penyokong dan ahli Pakatan Rakyat akan diadakan di kediaman menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin malam ini untuk menyatakan sokongan penuh kepada beliau dalam menghadapi situasi politik yang tidak menentu di negeri itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhimpunan itu juga bertujuan untuk memberi penjelasan secara terus kepada rakyat berhubung isu-isu yang berlalu di Perak."Kamu (BN) bercakap tentang demokrasi, tetapi kamu tidak berani untuk berhadapan dengan rakyat.

"Kamu kalah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan kamu takut untuk kalah lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusi satu mesyuarat di ibupejabat PKR di ibunegara malam tadi.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalannya, Syed Husin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat lagi ahli dewan undangan negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.'Situasi tidak menentu'Kata Najib, begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini.

Ketiga-tiganya kini sebagai wakil rakyat bebas.Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.Mengulas lanjut mengenainya, Anwar berkata, PKR dan Pakatan berpandangan bahawa "kita harus tunduk kepada kehendak rakyat".

"Kita mesti bertegas dalam isu ini, kembalikan kuasa kepada rakyat, terutama dalam situasi yang tidak menentu di Perak."Cara mengugut, membeli dan melarikan Adun tidak boleh dipertahankan," tegasnya.

Ditanya mengenai kemasukan Nasarudin ke dalam PKR, Anwar berkata: "Dia datang dengan rela, saya tak jemput dia, dia datang sendiri ke rumah saya dengan isterinya. Dia bersetuju untuk bersama PKR.

"Dia tengok BN telah rosak. Umno sudah hilang idealisme perjuangan dan rosak sebagai sebuah parti," katanya.'Kembali kepada rakyat'Menurut Anwar lagi, Nasarudin turut menyatakan bahawa beliau telah hilang keyakinan terhadap Najib.

Mengenai kenyataan Najib bahawa BN sudah mampu memerintah Perak, Anwar membidas timbalan perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menyifatkan alasan Jamaluddin dan Osman bahawa mereka bercuti sakit adalah sebagai satu pembohongan."Kenapa tidak memberitahu keluarga, pimpinan parti, menteri besar atau speaker. Kamu adalah exco, orang dij alanan pun tahu itu tanggungjawab awak," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa supaya kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru daripada mereka."Serahkan kepada rakyat, biar rakyat tentukan, sekiranya BN berhak memerintah, maka biarkanlah"Tapi saya yakin, kita akan mendapat majoriti yang lebih besar," tegas Anwar.

Sabtu, 31 Januari 2009

Presiden PAS dan rombongan pimpinan serah dana RM 250,000, tinjau penderitaan Gaza

RAFAH, Mesir 31 Jan (Hrkh) - Bendahari PAS Dr Hatta Ramli memaklumkan kepada Penolong Pengarang Harakahdaily Azamin Amin melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan 20 anggota rombongan PAS telah berjaya menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan PAS sejumlah RM250,000 untuk meringankan derita penduduk Gaza di Palestin.

Kata Dr. Hatta yang kini berada di sana, Ustaz Hadi dan rombongan termasuk sembilan ahli parlimen PAS mahu melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung umat Palestin akibat serangan Zionis.

Rombongan pimpinan PAS yang berlepas ke Mesir 28 Januari lalu telah selamat tiba di Rafah semalam dan dalam usaha menuju ke Gaza, Palestin.

"Rombongan Presiden PAS telah mendapat taklimat daripada Duta Malaysia di Mesir dan turut mendapat sokongan namun kerajaan Mesir tidak membenarkan kami memasuki Gaza, dan masih berada di Rafah," katanya melalui sms tersebut.

Sebelum itu katanya, mereka telah melawat Hospital Arish pada sebelah paginya untuk melihat mangsa serangan Israel ke atas Palestin.

"Ramai sukarelawan pelbagai bangsa kecewa kerana tidak dapat sumbang bakti di Gaza akibat peraturan ketat kerajaan Mesir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Arish jauhnya 40 kilometer dari Rafah dan adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin.

Di hospital itu katanya Tuan Guru Presiden PAS telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.

"Selain itu, Presiden dan rombongan dalam rangka lawatan menemui para pemimpin Ikhwan di Mesir, kemudian Damsyik, Beirut dan Amman seterusnya berjumpa dengan pemimpin Hamas sendiri.

"Objektif utama selain menyalurkan pelbagai jenis bantuan, Presiden dan pimpinan PAS mahu berbincang dan merangka bersama-sama pemimpin tersebut mekanisme dan tindakan terbaik bagi mengatasi kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin khususnya Gaza disamping menilai sendiri kemusnahan yang dialami untuk tujuan bantuan seterusnya ," katanya.

Keesokannya (31 Januari, hari ini), rombongan pimpinan PAS itu akan berlepas ke Damsyik untuk menemui pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Meshaal bagi meneliti langkah-langkah selanjutnya untuk rakyat Palestin khususnya melibatkan pembangunan semula Gaza dari segi modal insan, pendidikan dan ekonomi.

"Kami seterusnya akan melalui jalan darat ke Beirut menemui pemimpin gerakan Islam termasuk Hamas dan Fathi Yakan untuk berbincang masalahummah dan tindakan terdekat. Destinasi terakhir ialah Jordan untuk menemui pimpinan Ikhwan Muslimin dan untuk dapat taklimat tentang Tebing Barat.

"Jumlah sumbangan PAS sebanyak RM250,000 yang diterima daripada pelbagai pihak dan masyarakat prihatin di Malaysia telah berjaya kita sampaikan," katanya.

Selain beliau dan Presiden, ahli parlimen yang turut serta dalam rombongan ialah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian dan Ketua Pemuda PAS), Dr. Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lo' Lo' Ghazali (Tititwangsa), Dr. Mujahid Rawa (Parit Buntar),Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Hayati Othman (Pendang), Roslan Shaharum (Bukit Gantang) dan beberapa akitivis yang lain.

"Terima kasih atas doa, sumbangan dan keprihatin orang ramai kepada rakyat Palestin dan semoga semangat perjuangan sentiasa disemarakkan dan doakan kami selamat kembali," kata Dr Hatta dalam sms ketujuh kepada Azamin lewat jam 10.00 malam semalam.

Pemimpin UMNO Sapu RM 20 juta, Projek Jambatan Sultan Yahya Petra 2 Terbengkalai.

Kuala Nerus – Gejala rasuah yang berlaku dikalangan pemimpin UMNO mengakibatkan kebocoran dan ketirisan berlaku dalam projek kerajaan.

Projek besar dan kecil ditipu oleh pemimpin UMNO menyebabkan ia menelan belanja lebih besar dari yang sepatutnya.Ahli Dewan Undangan Negeri Melor, Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh menyatakan demikian ketika menyampaikan ceramah di Maahad Tahfidz Wal Tarbiyah Tok Jiring malam semalam.

Beliau mendedahkan penyelewengan pemimpin UMNO Kelantan dalam projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra 2 (JSYP2) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2 Ogos tahun 2007.

Beliau berkata projek tersebut tidak ditender dan diberi kepada syarikat yang dimiliki oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Rosmadi Ismail.

”Kementerian Kewangan melalui Kementerian Kerja Raya di peringkat pusat telah memberi kontrak membina jambatan ini kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu dengan harga RM 150 juta.

”Kita (PAS) bila tahu, kita tanya JKR berapa harga sepatutnya sebenarnya mengikut penilaian JKR,”JKR kata harga sebenar jambatan ini, kalau diberi secara tender (terbuka) paling mahal berharga RM 110 juta,”katanya.

Katanya kelulusan projek JSYP2 hampir kepada waktu pilihanraya umum yang lalu dimana perasmian pecah tapak projek tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri tanpa menjemput Menteri Besar Kelantan.

Oleh itu, setelah perasmian tapak tersebut, katanya, syarikat berkenaan telah menuntut bayaran daripada kerajaan pusat lebih dari RM 20 juta.Beliau berkata apabila mendapat bayaran dari kerajaan persekutuan, syarikat tersebut tidak meneruskan pembinaan JSYP2 dan terbengkalai sehingga kini.

”Akhirnya dia telah tuntut sebanyak lebih dari RM 20 juta, lepas itu dia pun tinggal (projek), tidak buat, sampai ke hari ini tidak buat, pitih RM 20 juta dia kebas, ”Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu beli kereta Porsche sebuah, nombor plate DBH1, yang harganya lebih sejuta ringgit,”dedah Ustaz Wan Ismail.

Katanya projek pembinaan JSYP2 yang terbengkalai adalah satu bukti bagaimana pemimpin UMNO menipu kontrak kerajaan. ”Dahlah boleh (mendapat) kontrak dengan harga yang mahal, tipu kerajaan pula, ambil pitih tapi tak buat kerja,”tambahnya.

Beliau berkata, kerajaan (rakyat) terpaksa menanggung kerugian bepuluh juta ringgit kerana terpaksa melantik kontraktor lain bagi melaksanakan projek itu dan wang lebih RM 20 juta yang telah diberikan kepada syarikat tersebut tidak dapat dituntut semula.

Undang-undang ‘Lompat Parti’, PAS Cadang Pinda Perlembagaan Malaysia

Kuala Terengganu - PAS menyelar UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai bersikap ‘double standard’ dalam usaha menangani isu ‘lompat parti’.

Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dato’ Mustafa Ali mencadangkan supaya perlembagaan persekutuan dipinda kerana katanya undang-undang anti lompat tidak berkesan jika dibuat di peringkat negeri sahaja (Gambar - Dato' Mustafa melayan para tetamu yang hadir ke majlis kenduri kesyukuran PAS Terengganu yang diadakan di perkarangan pejabat perhubungan negeri semalam)..

Beliau berkata Kelantan pernah menggubal satu Enakmen yang berkaitan dengan anti lompat pada tahun 90-an tetapi tidak berkesan kerana halangan-halangan tertentu.“Saya hendak sebut undang-undang anti lompat ini jika buat di peringkat negeri tidak berkesan. Dia mestilah dilakukan dengan pindaan Perlembagaan Malaysia.

“Sebab, Kelantan suatu ketika dahulu pernah buat Enakmen ini yang berkait dengan anti lompat pada tahun 90-an tetapi tidak boleh sebab individu dalam Perlembagaan terjamin,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, pada dasarnya PAS bersetuju seseorang yang bertanding di atas tiket sesuatu parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tidak harus menyeberangi kepada parti lain.Melainkan, katanya jika seseorang wakil rakyat itu mahu menyeberangi kepada mana-mana parti ia perlu mengosongkan kerusi tersebut.

“Saya rasa Umno sendiri tidak setuju dengan undang-undang lompat parti ini. Ini kebetulan kena kepada UMNO baru dia (pemimpin) fikir tentang anti lompat dan sebagainya.

“Sejarahnya, UMNO tidak bersetuju dengan undang-undang anti lompat parti kerana pada waktu itu biasanya yang lompat parti banyaknya dari pihak pembangkang kepada parti yang memerintah. “Saya tidak fikir UMNO boleh bersetuju. UMNO sendiri pun punya ‘double standrad’ dalam sikap dia (UMNO) terhadap isu ini,” jelasnya.
Beliau mahukan pindaan anti lompat tersebut dibuat bukan bagi satu pihak tetapi dua pindaan wajar dilakukan bagi menjamin hak seseorang.Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata ketika ini Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan seseorang wakil rakyat yang menang dan meletak jawatan untuk bertanding semula.

“Pindaan mestilah bukan satu tetapi dua. Iaitu, seseorang yang lompat jika dia (wakil rakyat) ‘gugur’ (letak jawatan) dia mesti boleh bertanding semula. “Sebab, undang-undang yang ada sekarang seseorang wakil rakyat yang menang dan jika dia letak jawatan sebagai wakil rakyat, dia tidak dibenarkan bertanding semula oleh Perlembagaan,” ujarnya.

Menurutnya, pindaan Perlembagaan menyekat wakil rakyat yang letak jawatan bertanding semula telah dibuat pada akhir tahun 80-an sewaktu berlaku pertembungan antara ‘team A’ dan ‘team B’ dalam Umno suatu ketika dahulu.

Waktu itu, katanya Dr. Mahathir menjadi Presiden Umno dan ditentang oleh Tengku Razaleigh dan Musa Hitam.“Berlakunya perpecahan dalam Umno dan waktu itu kes Shahril Samad yang sekarang ini Menteri Hal Ehwal Pengguna.
Dia (Shahril) waktu itu MP Johor Bharu dan dia secara ‘gentleman’ letak jawatan dan dia bertanding semula dan dia menang. “Jadi waktu itu, Dr. Mahathir takut berlaku lagi tindakan letak jawatan dan bertanding menang.
“Sebab itu, diperkenalkan satu undang-undang bahawa setiap wakil rakyat sama ada negeri atau parlimen yang ‘berhenti’ (letak jawatan) tidak boleh bertanding,” ujarnya.

Mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim yang meninggalkan perjuangan Umno dengan menyertai Parti KeADILan Rakyat (PKR) kerana beliau tidak yakin lagi dengan Barisan Nasional.
Katanya, Adun Bota (Nasaruddin) itu sudah hilang keyakinan terhadap Umno dan kerajaan BN serta boleh memilih mana-mana parti yang diminati bagi berkhidmat untuk rakyat.“Itu kerana dia (Nasaruddin Hashim) sudah tidak yakin kepada BN.
Saya boleh setuju jika dia hendak lompat dan jika ramai lagi pun saya setuju. “Keadaan sekarang ini, dia (Nasaruddin) tidak suka lagi kepada BN. Ibaratnya, dia kahwin tetapi sudah tidak suka lagi…tak boleh. Tetapi jangan ‘belilah’.
Jangan kerana beli kerana apa…itu tidak bagus,” tegasnya. Justeru itu, kata Dato’ Mustafa jika pindaan anti lompat hendak dibuat perlu dipinda bersama Perlembagaan Malaysia yang mengizinkan wakil rakyat yang meletak jawatan itu boleh bertanding semula.